Pemilihan calon Program Latihan Kepakaran Lanjutan KKM telus

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 20 Jun – Proses pemilihan Program Latihan Kepakaran Lanjutan KKM (Tawaran C) dilaksanakan secara berstruktur, telus dan berasaskan merit, bagi memastikan hanya calon yang benar-benar memenuhi syarat ditetapkan dipilih mengikuti latihan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saringan melibatkan syarat umum, penilaian profesional dan teknikal, kemudian diperakukan oleh Jawatankuasa Induk.
  • Sesi 2026/2027 terima 672 permohonan; 400 slot diperuntukkan; 307 calon ditawarkan setakat ini.
  • LNPT tidak ditetapkan secara unilateral; tertakluk kepada dasar JPA dan penilaian SWE kini boleh diambil kira.
  • KKM menjelaskan hanya lapan daripada rayuan disemak layak menurut ketetapan JPA; dakwaan semua 123 gagal kerana LNPT ditolak.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan, memaklumkan bahawa proses pemilihan itu melibatkan saringan syarat umum, penilaian profesional serta penilaian teknikal oleh bidang kepakaran masing-masing sebelum diperakukan oleh Jawatankuasa Induk Program Latihan Kepakaran Lanjutan KKM.

Bagi sesi 2026/2027, sebanyak 672 permohonan diterima melibatkan Program Subkepakaran Perubatan, Subkepakaran Pergigian, Area of Special Interest (AOSI) Pergigian, Kesihatan Awam dan Kesihatan Keluarga.

Daripada jumlah itu, sebanyak 400 slot latihan diperuntukkan, dengan 307 calon telah ditawarkan setakat ini selepas memenuhi syarat umum, syarat khusus bidang serta penilaian profesional yang ditetapkan.

KKM turut menjelaskan bahawa syarat berkaitan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) tidak ditetapkan secara unilateral oleh kementerian atau Bahagian Pengurusan Latihan (BPL), sebaliknya tertakluk kepada dasar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Hasil perbincangan bersama JPA, penilaian prestasi sepanjang tempoh Pengalaman Kerja Yang Diselia (SWE) oleh pegawai perubatan pakar kini boleh diambil kira sebagai tambahan kepada dua tahun penilaian prestasi selepas pewartaan bagi tujuan permohonan latihan kepakaran lanjutan,” menurut kenyataan itu.

Mengulas isu rayuan membabitkan 123 pemohon, KKM memaklumkan semakan silang oleh BPL dan Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) mendapati kumpulan berkenaan tidak berada dalam satu kategori yang seragam.

“Daripada jumlah itu, hanya 20 calon dikenal pasti berada dalam kumpulan 50 calon yang sedang disemak semula susulan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 19 Jun 2026.

“Namun, hanya lapan orang memenuhi ketetapan terkini JPA untuk dipertimbangkan melalui pengambilan kira penilaian prestasi dalam tempoh SWE, manakala baki 115 pemohon didapati tidak memenuhi syarat umum dan syarat khusus ditetapkan bidang kepakaran masing-masing,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, KKM menolak tanggapan bahawa kesemua 123 pemohon layak tetapi gagal ditawarkan tempat hanya disebabkan isu LNPT.

Dalam perkembangan lain, KKM mengakui terdapat perbezaan pelaksanaan antara Program Sarjana dan Program Parallel Pathway yang berkembang mengikut dasar serta kaedah pelaksanaan semasa.

Menurut kementerian itu, pegawai Program Parallel Pathway lazimnya masih berada dalam jawatan hakiki dan terus bertugas di fasiliti kesihatan KKM, sekali gus membolehkan mereka memperoleh LNPT sepanjang tempoh latihan.

Sebaliknya, peserta Program Sarjana di bawah kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Hadiah Latihan Persekutuan (CBBP Dengan HLP) tidak mempunyai LNPT kerana berada dalam status cuti belajar dan tertakluk kepada mekanisme penilaian akademik serta profesional yang berbeza.

KKM turut memaklumkan terdapat pegawai Program Parallel Pathway yang ditempatkan dalam Jawatan Simpanan Latihan (JSL) atau sedang menunggu penempatan ke JSL, sekali gus menyebabkan pelaksanaan penilaian prestasi tidak seragam di semua fasiliti dan Pusat Tanggungjawab (PTJ).

Sehubungan itu, KKM akan terus mengadakan sesi libat urus bersama JPA dan pihak berkepentingan bagi menambah baik mekanisme penilaian prestasi agar lebih jelas, seragam dan setara.

Langkah itu penting bagi memastikan peluang mengikuti Program Latihan Kepakaran Lanjutan dapat dinilai secara adil, di samping menjamin pembangunan subkepakaran negara dilaksanakan secara mampan tanpa menjejaskan keperluan perkhidmatan serta kesinambungan penyampaian penjagaan kesihatan kepada rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.