
MEKAH, 26 Mei – Kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Arafah terus menjadi keutamaan utama pengurusan haji negara dengan setiap aspek perkhidmatan dipantau secara dekat bagi memastikan kelancaran ibadah wukuf yang menjadi kemuncak haji.
- Pemantauan rapi memastikan kemudahan penginapan, logistik dan sokongan kesihatan diberikan mengikut piawaian untuk kelancaran ibadah.
- Maklum balas jemaah menunjukkan tahap kepuasan sangat baik, tetapi pihak pengurusan sentiasa terbuka untuk penambahbaikan.
- Petugas kesihatan menunjukkan komitmen tinggi memberi rawatan segera dan sistematik supaya jemaah dapat meneruskan ibadah dengan selesa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata langkah pemantauan rapi itu dilaksanakan bagi memastikan setiap tetamu Allah mendapat kemudahan terbaik melibatkan aspek penginapan, logistik, serta sokongan kesihatan yang optimum sepanjang operasi Masyair.
Beliau berkata, hasil pemantauan serta maklum balas yang diterima setakat ini menunjukkan tahap kepuasan yang sangat baik dalam kalangan jemaah terhadap keseluruhan ekosistem kemudahan yang disediakan, namun pihaknya sentiasa terbuka untuk sebarang penambahbaikan.
“Alhamdulillah kita dapatkan maklum balas sangat baik daripada semua jemaah haji kita. Mereka semuanya dalam keadaan yang bersemangat, ceria menunaikan haji tahun ini.
“Dalam masa sama, kami menziarahi jemaah haji yang diuji masalah kesihatan dan kita nampak bagaimana petugas kesihatan kita memberi rawatan dengan begitu sistematik.
“Jadi mari kita sama-sama berdoa agar dapat menunaikan wukuf di Arafah dan haji sebaiknya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan fizikal ke khemah penginapan dan pusat rawatan kesihatan jemaah Malaysia di Arafah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Zulkifli memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh barisan petugas kesihatan negara yang sentiasa bersiap siaga memberikan rawatan segera dan sewajarnya kepada jemaah yang kurang sihat agar mereka dapat meneruskan ibadah dengan selesa.
Menurutnya, pendekatan holistik yang mengintegrasikan aspek kebajikan, kesihatan dan keselesaan amat penting bagi membolehkan jemaah memberikan tumpuan dan pengabdian sepenuhnya kepada ibadah, khususnya ketika berada di padang Arafah.