SHAH ALAM, 2 Oktober - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berharap Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober ini memberi peruntukan besar bagi memastikan kejayaan empat agenda utama yang dipertanggungjawabkan kepada kementerian itu bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Menurut Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, agenda tersebut meliputi penskalaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), pembangunan perusahaan sosial dan inklusif, pengukuhan gerakan koperasi serta pembangunan industri francais.
"Pada masa sama, KUSKOP juga tidak akan mengabaikan agenda pembangunan perusahaan informal dan mikro yang turut menjadi sebahagian daripada fokus utama kami. Maka, wishlist Bajet 2026 kami sudah tentu berasaskan kepada fokus-fokus ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Glide Technology Sdn Bhd di sini hari ini.
Ewon turut menyatakan penghargaan kepada Kementerian Kewangan kerana telah mengadakan sesi belanjawan bersama KUSKOP, sekali gus meyakinkan beliau bahawa keperluan kementerian itu akan mendapat sokongan sewajarnya.
"Saya amat yakin selepas pembentangan nanti, KUSKOP dapat diberikan peruntukan besar bagi memastikan kejayaan agenda-agenda yang telah digariskan dalam RMKe-13. Mudah-mudahan Bajet 2026 membawa berita baik bukan sahaja kepada KUSKOP tetapi juga kepada usahawan dan koperasi negara," katanya lagi.