
JOHOR, 25 Jun – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan tambang promosi bagi Perkhidmatan Shuttle Selatan bermula 28 Jun ini.
- Laluan terlibat: Kempas Baru ke Pasir Gudang dan Kulai ke JB Sentral.
- Tambang dikurangkan: Kulai ke JB Sentral RM5.10 (asal RM10.20); Kempas Baru ke Pasir Gudang RM3.30 (asal RM7).
- Inisiatif menyokong Road to Rail untuk galakkan peralihan dari kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam, kurangkan kesesakan.
Pengguna pengangkutan awam khususnya di Johor bakal menikmati perjalanan lebih murah.
Inisiatif itu melibatkan dua laluan utama iaitu Kempas Baru – Pasir Gudang serta Kulai – JB Sentral, sebagai usaha menarik lebih ramai masyarakat beralih kepada pengangkutan rel yang lebih selesa, pantas dan menjimatkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, pelaksanaan tambang promosi berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyokong aspirasi kerajaan menerusi inisiatif Road to Rail.
“Langkah ini bertujuan menggalakkan peralihan pengguna daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya.
“Bagi laluan Kulai – JB Sentral, penumpang hanya perlu membayar tambang serendah RM5.10 berbanding kadar asal RM10.20,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, bagi laluan Kempas Baru – Pasir Gudang pula, tambang diturunkan kepada RM3.30 berbanding harga asal RM7.
Pelaksanaan promosi tersebut dilihat mampu memberi manfaat kepada pengguna harian khususnya golongan yang berulang-alik antara kediaman dan tempat kerja, selain memperkukuh penggunaan sistem pengangkutan awam negara secara lebih meluas.