
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka lima Bilik Gerakan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
- Bilik gerakan akan beroperasi 24 jam dari hari penamaan calon (27 Jun) hingga hari pengundian (11 Julai) untuk menerima aduan.
- Orang ramai boleh menyalurkan maklumat rasuah dan salah guna kuasa di bilik gerakan atau melalui e-mel aduan.prnjohor2026@sprm.gov.my.
- Semua maklumat disiasat secara profesional dan telus; tindakan penguatkuasaan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).
Ia bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan rasuah serta salah guna kuasa sepanjang tempoh pilihan raya.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, bilik gerakan berkenaan akan beroperasi 24 jam sehari bermula hari penamaan calon pada 27 Jun hingga hari pengundian pada 11 Julai depan.
“Lima lokasi yang terlibat ialah Pejabat SPRM Johor di Tampoi, Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat, Kluang, Segamat dan Mersing.
“Selain hadir ke bilik gerakan berkenaan, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa melalui e-mel rasmi aduan.prnjohor2026@sprm.gov.my,”katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut SPRM, setiap maklumat yang diterima akan disiasat secara profesional, telus dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, SPRM mengingatkan semua calon serta parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang termasuk peraturan pilihan raya.
Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012) bagi memastikan proses demokrasi berlangsung secara bersih, adil dan berintegriti.