Kaligrafi al-Quran: Ali Qassim pastikan seni tidak ditelan masa

Foto REUTERS

SANAA, 25 Jun -Di sebalik konflik dan kesempitan ekonomi yang mencengkam Yaman, seorang ahli kaligrafi (khat) tempatan bertekad mendedikasikan hidupnya menghidupkan semula tradisi menulis mushaf al-Quran dengan tangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyalin al-Quran memerlukan ketelitian tinggi, jiwa yang tenang dan pemahaman mendalam terhadap hukum penulisan serta susunan surah, halaman dan ayat.
  • Beliau menguji bertahun-tahun pena, dakwat dan teknik goresan, serta memilih kertas khas agar dakwat tidak meresap ke muka surat sebelah.
  • Komitmennya menurunkan ilmu dan teknik kepada generasi muda memastikan kraf kaligrafi al-Quran terus dipelihara dan tidak ditelan zaman.

Ali Qassim, yang menjalankan kerja-kerja seni halus itu dari rumahnya di ibu kota Sanaa, menghasilkan setiap halaman kitab suci berkenaan dengan ketelitian yang luar biasa.

Baginya, menyalin teks suci tersebut bukan sekadar seni, malah memerlukan jiwa yang tenang serta pemahaman mendalam terhadap hukum-hakam khusus penulisan Al-Quran.

“Bekerja dengan ayat-ayat Al-Quran adalah sangat berbeza dan tidak boleh disamakan dengan penulisan lain.

“Kedudukan setiap surah, halaman, dan ayat mesti diukur dan diimbangi dengan sangat tepat,” ujar Qassim kepada agensi berita Reuters.

Sebelum memulakan projek menyalin naskhah suci ini, Qassim menghabiskan masa bertahun-tahun melakukan eksperimen bagi menguji kesesuaian pen, dakwat, dan teknik goresan khat yang betul.

Beliau menggunakan kertas khas menyerupai kertas cilap tradisional bagi memastikan dakwat tidak merembes ke muka surat sebelah.

Sebelum bermulanya era teknologi percetakan moden, kaedah menyalin dengan tangan merupakan cara utama umat Islam memelihara dan menyebarkan Al-Quran.

Meskipun naskhah cetakan kilang kini sangat mudah didapati, al-Quran tulisan tangan kekal memiliki nilai estetika, budaya, dan spiritual yang tiada galang gantinya.

Melalui komitmen yang tidak berbelah bahagi, Qassim kini aktif menurunkan ilmu dan teknik dimilikinya kepada generasi muda Yaman.

Ini sekali gus memastikan seni kraf Islam yang suci dan berusia ratusan tahun ini tidak ditelan zaman. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.