RUU Warisan Israel cetus kebimbangan rampasan tanah secara haram

Foto REUTERS

TEBING BARAT, 25 Jun – Tebing Barat berdepan ancaman perampasan tanah secara besar-besaran susulan tindakan parlimen Israel membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu untuk mengambil alih kawalan ke atas semua tapak arkeologi purba di wilayah Palestin itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PA dan badan hak asasi mengutuk tindakan itu sebagai taktik pengilhakan halus untuk meluaskan penempatan haram Yahudi.
  • Peace Now memberi amaran ia boleh mencetuskan gelombang rampasan tanah pada skala belum pernah berlaku.
  • RUU "Lembaga Warisan di Judea dan Samaria" lulus satu daripada tiga fasa, berisiko rampasan hartanah paksa.
  • Sebastia terancam; pengambilan 1,800 dunam mengancam mata pencarian, lebih 5,000 pokok zaitun dan ekosistem pertanian.

Langkah tersebut yang didakwa Israel sebagai usaha pemeliharaan sejarah dikecam hebat oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan badan pemerhati hak asasi yang menyifatkannya sebagai taktik pengilhakan halus demi meluaskan penempatan pendatang haram Yahudi.

Menteri Pelancongan PA, Hani Al-Hayek, menegaskan bahawa tindakan mengeksploitasi tapak warisan purba itu merupakan sebahagian daripada strategi politik Israel untuk memperkukuh cengkaman dan meluaskan penempatan haram Yahudi jauh ke dalam penempatan komuniti Palestin.

Badan pemerhati penempatan Israel, Peace Now, turut memberi amaran bahawa taktik menggunakan arkeologi sebagai alasan peluasan sempadan ini bakal mencetuskan gelombang rampasan tanah pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Salah satu wilayah penting yang terkesan ialah kampung Sebastia di utara Tebing Barat yang merupakan sebuah tapak peninggalan kerajaan Israel abad ke-9 Sebelum Masehi (SM) dan empayar Uthmaniyyah yang kini berada dalam senarai Warisan Dunia UNESCO.

Rang Undang-Undang berkenaan akan membolehkan Israel merampas sekitar 1,800 dunam atau (445 ekar) tanah di Sebastia.

Tindakan perampasan itu memusnahkan mata pencarian penduduk tempatan yang bergantung penuh kepada sektor pelancongan serta ekosistem pertanian yang menempatkan lebih 5,000 pokok zaitun.

Meskipun ahli parlimen Israel, Zvi Sukkot, mempertahankan RUU itu atas dasar hubungan sejarah kaum Yahudi dengan tanah berkenaan, draf tersebut mula mencetuskan kebimbangan domestik.

Akademi Sains dan Kemanusiaan Israel telah mengeluarkan amaran terbuka kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu agar membatalkan RUU tersebut kerana ia berisiko memencilkan komuniti Israel daripada jaringan penyelidikan arkeologi antarabangsa.

Draf undang-undang yang dinamakan “Lembaga Warisan di Judea dan Samaria” itu telah pun diluluskan satu daripada tiga fasa undian di parlimen Israel (Knesset).

Sekiranya diluluskan sepenuhnya, undang-undang itu akan meletakkan pengurusan keseluruhan tapak peninggalan zaman Rom, Byzantine, dan Perang Salib di bawah bidang kuasa Kementerian Warisan Israel.

Tindakan tersebut membolehkan “pengambilan dan pembelian hartanah” secara paksa di kawasan sekitar Tebing barat.

Langkah berkenaan juga secara tidak langsung merampas kuasa pengawasan daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang sebelum ini memegang hak pentadbiran ke atas tapak-tapak sejarah berkenaan di bawah Perjanjian Damai Oslo 1993. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.