212 kematian direkodkan di Sepanyol dalam tempoh empat hari

Foto REUTERS

MADRID, 25 Jun – Gelombang haba melampau yang melanda Sepanyol dilaporkan mengorbankan 212 nyawa dalam tempoh hanya empat hari antara Ahad dan Rabu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • MoMo: kadar kematian empat hari jauh lebih tinggi berbanding tempoh sama 2025, yang mencatat 98 kes.
  • AEMET: purata suhu harian Jun naik rekod kepada 28.08°C kemudian 28.17°C.
  • Fenomena malam tropika (suhu minima 19 hingga 20°C) mengganggu tidur dan mengurangkan pemulihan daripada haba siang.
  • Amaran bahaya tertinggi di utara (Cantabria, Basque) selepas suhu harian melepasi 40°C; amaran kemudian diturunkan kepada tahap kuning.

Menurut institut pemantauan MoMo, lonjakan drastik angka korban itu berpunca daripada rekod purata suhu harian tertinggi negara itu bagi bulan Jun.

Sistem pemantauan MoMo turut mendedahkan bahawa data kematian bagi empat hari berkenaan adalah jauh lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025, yang merekodkan 98 kes kematian.

Statistik berkenaan menggambarkan situasi yang semakin meruncing memandangkan tahun lalu juga mencatatkan musim panas paling panas dalam sejarah Sepanyol dengan keseluruhan 3,832 kematian berkaitan haba.

Menurut agensi cuaca kebangsaan AEMET, suhu di semenanjung Sepanyol mencatatkan rekod baharu minggu ini apabila purata suhu harian melonjak kepada 28.08°C pada Isnin dan terus mencatatkan peningkatan kepada 28.17°C pada Selasa.

Keadaan berkenaan turut diburukkan lagi dengan fenomena “malam tropika” iaitu ketika purata suhu minimum waktu malam kekal tinggi pada kadar sekitar 19°C hingga 20°C.

Situasi tersebut dilaporkan menjejaskan kualiti tidur penduduk secara serius dan menghalang tubuh daripada berehat serta pulih daripada bahang siang hari.

Fenomena berkenaan dikhuatiri mengancam nyawa golongan rentan dan warga emas.

Cuaca ekstrem itu turut memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan amaran bahaya tahap tertinggi di wilayah utara termasuk Cantabria dan Basque.

Sebelum ini, wilayah-wilayah berkenaan pada kebiasaannya terselamat daripada cuaca panas ekstrem ekoran faktor geografi.

Namun, buat kali pertama dalam sejarah, suhu harian di wilayah berkenaan melepasi melepasi 40°Celcius.

Bagaimanapun, menjelang Khamis, kebanyakan amaran cuaca buruk di seluruh negara telah diturunkan kepada tahap kuning menandakan penurunan suhu secara berperingkat.

Walaubagaimanapun, pihak berkuasa Sepanyol terus menggesa agar rakyatnya untuk terus kekal berwaspada. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.