Terima rasuah lebih RM6 juta, anak bekas Menteri Keadilan Sri Lanka ditahan

Foto hiasan / AFP

COLOMBO, 25 Jun – Pihak berkuasa Sri Lanka menahan anak lelaki kepada seorang bekas menteri keadilan kerana didakwa menerima rasuah bernilai jutaan dolar bagi mengatur pembebasan seorang ketua sindiket dadah berbahaya yang diekstradisi dari Madagascar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek dikatakan merundingkan rasuah 500 juta rupee untuk membebaskan Nadun Chinthaka, dikenali sebagai 'Harak Kata'.
  • Harak Kata dibawa pulang pada 2023 dengan bantuan Interpol dan disifatkan sebagai ketua sindiket dadah berbahaya.
  • Transaksi haram dikesan berlaku ketika bapanya, Wijeyadasa Rajapakshe, masih menjawat Menteri Keadilan dan Reformasi Penjara.
  • Rajapakshe menerima bayaran pendahuluan 120 juta rupee; penahanan ini sebahagian siri tangkapan berprofil tinggi bawah pentadbiran baru.

Suspek, Rakitha Rajapakshe, ditahan oleh suruhanjaya pencegah rasuah negara itu selepas dituduh merundingkan rasuah berjumlah 500 juta rupee (kira-kira AS$1.5 juta) bagi membebaskan Nadun Chinthaka, atau lebih dikenali sebagai ‘Harak Kata’.

Harak Kata, yang dibawa pulang ke Sri Lanka pada 2023 dengan bantuan Interpol, disifatkan polis sebagai antara ketua sindiket pengedaran dadah dan rangkaian kongsi gelap paling berbahaya di negara berkenaan.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Rasuah, transaksi haram itu dikesan berlaku ketika bapa suspek, Wijeyadasa Rajapakshe, masih menjawat jawatan sebagai Menteri Keadilan dan Reformasi Penjara.

Pelan pembebasan itu bagaimanapun gagal dilaksanakan selepas kerajaan pimpinan bapa suspek tewas dalam pilihan raya umum pada tahun 2024.

Meskipun cubaan membebaskan ketua sindiket dadah itu gagal, pihak berkuasa mendedahkan bahawa Rajapakshe sudah pun menerima bayaran pendahuluan rasuah sebanyak 120 juta rupee (AS$350,000) sebelum rancangan itu terbongkar.

Penahanan Rajapakshe itu merupakan siri tangkapan berprofil tinggi terbaharu di bawah pentadbiran Presiden Anura Kumara Dissanayake, yang memenangi pilihan raya pada September 2024 yang berikrar untuk membersihkan Sri Lanka daripada masalah rasuah.

Pihak berkuasa turut menjelaskan bahawa Rakitha Rajapakshe tidak mempunyai sebarang pertalian keluarga dengan dinasti politik Rajapaksa yang pernah mendominasi Sri Lanka dari tahun 2005 hingga 2022, meskipun sebahagian besar ahli keluarga dinasti berkenaan kini turut berdepan pendakwaan berasingan atas tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.