
KANGAR, 15 Jun – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyasarkan untuk mengetengahkan calon di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
- Senarai calon berpotensi telah dihantar untuk proses tapisan bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan.
- Keputusan akhir pencalonan tertakluk kepada pertimbangan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- AMK mengemukakan antara tujuh hingga lapan nama untuk Johor dan kira-kira enam nama untuk Negeri Sembilan.
- Peluang PH masih terbuka dan seimbang, memerlukan strategi dinamik susulan demografi dan isu tempatan berbeza.
Timbalan Ketua AMK, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, senarai nama calon berpotensi bagi kedua-dua pilihan raya itu telah pun dihantar untuk proses tapisan.
Namun keputusan akhir tertakluk kepada pertimbangan Presiden Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menjelaskan bahawa sayap pemuda parti itu mengemukakan antara tujuh hingga lapan nama bagi PRN Johor yang dijadualkan pada 11 Julai ini, manakala enam nama dicalonkan bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
“Senarai calon bagi menghadapi kedua-dua PRN berkenaan telah dihantar melalui proses tapisan dan diharapkan mereka yang dicadangkan itu mendapat restu pimpinan tertinggi parti.
“Bagi PRN Johor, AMK mengemukakan antara tujuh hingga lapan nama manakala untuk PRN Negeri Sembilan sekitar enam nama telah dihantar untuk pertimbangan dan tapisan,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Perlis bagi membincangkan perkembangan politik semasa.
Sementara itu, Muhammad Izuan menyifatkan peluang Pakatan Harapan (PH) untuk meraih kemenangan di kedua-dua negeri berkenaan dilihat masih terbuka dan seimbang.
Beliau berkata landskap politik dan faktor demografi yang berbeza di Johor dan Negeri Sembilan menuntut strategi yang dinamik, selain setiap kawasan mempunyai isu tempatan tersendiri yang perlu disantuni.
“Peluang Pakatan Harapan memenangi PRN Johor dan Negeri Sembilan masih terbuka serta seimbang berikutan keadaan demografi di kedua-dua negeri tersebut adalah berbeza, selain turut mempunyai isu-isu tersendiri,” jelasnya.