
PUTRAJAYA, 6 JULAI – Kerajaan memperkukuh reformasi pembiayaan kesihatan negara menerusi pelancaran inisiatif MediAsas, sekali gus memastikan rakyat mendapat akses kepada perlindungan kesihatan pada kos yang lebih munasabah.
- Perlu pelaksanaan segera reformasi struktur pembiayaan kesihatan susulan kenaikan kos penjagaan kesihatan dan perubatan swasta.
- MediAsas memperkenalkan pelan Teras dan Fleksi, perlindungan sehingga usia 85 tahun serta penyertaan sehingga umur 70 tahun.
- Lembaga Tadbir Urus Bebas ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan; program rintis hujung Julai, pengembangan ke seluruh negara menjelang Januari 2027.
- Kerajaan akan mempercepat peralihan kepada penjagaan berasaskan nilai melalui pendigitalan dan ketelusan bil menerusi Rangkaian Pensijilan Kesihatan Digital Malaysia (MDHCN).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peningkatan kos penjagaan kesihatan dan perubatan swasta tidak boleh terus membebankan rakyat, justeru reformasi struktur pembiayaan kesihatan perlu dilaksanakan segera.
“Kerajaan melancarkan inisiatif MediAsas di bawah kerangka RESET dengan menawarkan pelan insurans dan takaful perubatan MediAsas Teras serta MediAsas Fleksi, dengan perlindungan sehingga usia 85 tahun dan penyertaan sehingga umur 70 tahun,” katanya dalam kenyataan..
Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS ) bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Bagi memastikan inisiatif tersebut berjalan lancar, Lembaga Tadbir Urus Bebas turut ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan inisiatif itu dengan program rintis akan dimulakan pada hujung Julai sebelum diperluaskan ke seluruh negara menjelang Januari 2027.
Pada masa sama kerajaan juga akan mempercepat peralihan sistem kepada penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based care) melalui pendigitalan sektor kesihatan dan penguatkuasaan ketelusan bil perubatan menerusi Rangkaian Pensijilan Kesihatan Digital Malaysia (MDHCN).
Langkah tersebut mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan ekosistem kesihatan negara terus terpelihara.