
JOHOR BAHRU, 6 Julai – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 memasuki hari ke-11 dengan calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Skudai dan Perling terus mendekati pengundi menerusi pelbagai program kempen, selain menggariskan fokus terhadap isu yang menjadi keutamaan penduduk setempat.
- Memperkasa kebajikan warga emas dengan menambah infrastruktur dan kemudahan awam mesra warga emas di kawasan setempat.
- Menambah baik pengangkutan awam setempat bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan terutama bagi pekerja yang berulang-alik.
- Atasi kekurangan parkir dengan cadangan parkir bertingkat dan had tempoh parkir untuk tingkatkan pusing ganti petak.
Calon PH DUN Skudai, Kartiyaini Jeyapalan, berkata maklum balas yang diterima sepanjang tempoh berkempen setakat ini amat menggalakkan dan memberi semangat untuk terus mendekati rakyat.
Menurut beliau, antara fokus utama yang ingin diberi perhatian ialah kebajikan warga emas, memandangkan hampir 30 peratus penduduk di kawasan itu terdiri daripada golongan berkenaan.
“Sambutan yang saya terima sepanjang sesi walkabout sangat positif. Sokongan yang diberikan penduduk memberi saya semangat untuk meneruskan kempen ini.
“Fokus utama saya ialah memastikan kebajikan warga emas terus diperkasa, termasuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam yang lebih mesra warga emas di Skudai,” katanya.
Sementara itu, calon PH DUN Perling, Alan Tee Boon Tsong, berkata isu pengangkutan awam dan kekurangan parkir antara perkara yang sering dibangkitkan penduduk sepanjang beliau berkempen.
Beliau berkata, antara cadangan yang dikemukakan termasuk menambah baik kemudahan parkir menerusi pembinaan parkir bertingkat serta mengehadkan tempoh parkir di beberapa lokasi bagi meningkatkan kadar pusing ganti petak parkir.
“Pengangkutan awam di Perling dan Skudai masih memerlukan penambahbaikan. Selain itu, isu kekurangan parkir turut menjadi antara kebimbangan penduduk, terutama mereka yang berulang-alik bekerja ke Singapura.
“Antara cadangan yang kita kemukakan ialah mewujudkan parkir bertingkat dan mengehadkan tempoh parkir di beberapa lokasi bagi membantu mengatasi masalah tersebut,” katanya.
Kedua-dua calon berharap dapat terus mendekati lebih ramai pengundi sepanjang baki tempoh berkempen menjelang hari pengundian.