72,000 peserta FELCRA bakal terima agihan keuntungan interim pertama berjumlah RM126.9 juta

Foto BERNAMA

MARAN, 6 Julai – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 Tahun 2026 FELCRA Bhd berjumlah RM126.9 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Agihan keuntungan interim pertama meningkat 7.6 peratus berbanding tahun lalu.
  • Peningkatan hasil pengeluaran dan pengurangan kos operasi sebanyak 12 peratus menyumbang kepada kenaikan agihan.
  • Bilangan projek penerima meningkat kepada 747 projek berbanding 684 projek tahun lalu.
  • Interim 1 (Januari-April) dibayar mulai bulan ini; Interim 2 (Mei-Ogos) dijadualkan dibayar November selepas penutupan akaun September.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata agihan keuntungan tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 72,000 peserta di seluruh negara.

“Agihan ini akan disalurkan secara berperingkat kepada lebih 72,000 peserta di seluruh Malaysia, melibatkan 747 buah projek yang mencatatkan keuntungan,” katanya dalam ucapan perasmian sempena dengan Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad Mohamed Ismi Abdul Majid berkata agihan keuntungan interim pertama tahun ini meningkat 7.6 peratus kepada RM126.9 juta berbanding RM117 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata agihan itu diharap dapat membantu meningkatkan kesejahteraan peserta, khususnya dalam menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Pihak FELCRA berharap agihan keuntungan ini dapat membantu meningkatkan kesejahteraan peserta. Ramai anak peserta kini dapat melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, jadi dengan adanya keuntungan ini bolehlah mereka gunakan untuk tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Mohamed Ismi berkata peningkatan hasil pengeluaran serta penurunan kos operasi berbanding tahun lepas merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan agihan keuntungan tersebut.

Beliau berkata purata harga minyak sawit mentah (MSM) bagi tempoh Januari hingga April tahun ini mencatatkan RM4,367 satu tan berbanding RM4,600 satu tan dalam tempoh sama tahun lepas.

“Walaupun harga MSM menurun, keuntungan masih meningkat berikutan kos operasi berjaya dikurangkan sebanyak 12 peratus. Selain itu, jumlah projek yang menerima agihan keuntungan turut meningkat kepada 747 projek berbanding 684 projek pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata agihan Interim 1 meliputi keuntungan bagi tempoh Januari hingga April dan pembayaran dibuat mulai bulan ini, manakala agihan Interim 2 yang meliputi tempoh Mei hingga Ogos dijadualkan dibayar pada November selepas proses penutupan akaun pada September.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.