
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bakal mewujudkan Pusat Transit Pekerja Asing bagi memperkemas pengurusan kemasukan pekerja asing ke Malaysia.
- Memperkukuh ekosistem pengurusan pekerja asing serta meningkatkan penguatkuasaan dan keselamatan.
- Disasarkan menempatkan 1,000 hingga 2,000 pekerja secara sementara sebelum diserahkan kepada majikan.
- Bukan penempatan kekal atau pusat tahanan; pekerja dibenarkan keluar segera selepas dokumen lengkap.
- Perhalusi cadangan bersama negara sumber, teladani amalan terbaik luar negara; tindakan tegas terhadap majikan gagal sediakan penginapan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, berkata penubuhan pusat berkenaan bertujuan memperkukuh ekosistem pengurusan pekerja asing, di samping meningkatkan aspek penguatkuasaan dan keselamatan.
“Kita menyasarkan antara 1,000 hingga 2,000 pekerja asing ditempatkan di pusat transit ini pada satu-satu masa. Mereka hanya berada di situ buat sementara sebelum diserahkan kepada majikan.
“Ia bukan penempatan kekal atau pusat tahanan. Sebaik semua dokumen majikan dan pekerja lengkap, mereka akan dibenarkan keluar dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas Kementerian Sumber Manusia di ibu negara, hari ini.
Datuk Seri R. Ramanan berkata, KESUMA akan memperhalusi cadangan itu menerusi sesi libat urus bersama negara sumber melalui saluran diplomatik sedia ada, selain mengambil kira amalan terbaik yang dilaksanakan di Singapura, Korea Selatan dan beberapa negara Asia Barat.
Pada masa sama, beliau menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap majikan yang gagal menyediakan penginapan mengikut peraturan sehingga menyebabkan pekerja asing tinggal di penempatan haram.