Trump akui minta FIFA semak kad merah Balogun

Donald Trump/ AFP

Washington DC, 6 Julai- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan beliau telah meminta Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino untuk menyemak semula keputusan kad merah yang dikenakan terhadap penyerang AS, Folarin Balogun dalam saingan Piala Dunia 2026 pada 1 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump menegaskan beliau tidak minta keputusan dibatalkan, hanya mahukan semakan kerana menganggap insiden itu bukan satu kekasaran.
  • Beliau menyifatkan insiden sebagai pertembungan biasa antara dua pemain yang sedang berlari laju.
  • Trump mengkritik pengadil Raphael Claus sebagai "sedikit meragukan" berdasarkan rekod lampau.
  • Kad merah selepas semakan VAR membawa penggantungan satu perlawanan; FIFA kemudian menangguhkan keputusan setahun, membolehkan Balogun beraksi pusingan 16.

Trump bagaimanapun menegaskan beliau tidak meminta keputusan itu dibatalkan, sebaliknya hanya mahu semakan dilakukan kerana menganggap insiden berkenaan bukan satu kekasaran.

“Saya hanya meminta semakan kerana saya tidak fikir itu satu kekasaran. Saya tidak kata mereka perlu membuat apa-apa keputusan atau bertindak mengikut cara tertentu,” katanya kepada media di White House di sini hari ini.

Beliau menyifatkan insiden tersebut sebagai pertembungan biasa antara dua pemain yang sedang berlari laju.

Dalam masa sama, Trump turut mengkritik pengadil perlawanan, Raphael Claus dengan menyifatkan beliau sebagai “sedikit meragukan” berdasarkan rekod lampau.

Balogun sebelum ini dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam aksi pusingan 32 terbaik menentang Bosnia yang menyaksikan AS menang 2-0.

Folarin Balogun melakukan kekasaran ke atas Tarik Muharemovic dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 antara Amerika Syarikat dan Bosnia pada 1 Julai 2026. (Foto kecil) Insiden kemudian disemak VAR sebelum pengadil, Raphael Claus melayangkan kad merah kepada Balogun/ AFP

Di bawah peraturan FIFA, kad merah secara automatik membawa kepada penggantungan satu perlawanan yang tidak boleh dirayu oleh pasukan.

Bagaimanapun, keputusan tersebut kemudian ditangguhkan selama setahun oleh badan induk bola sepak dunia itu, sekali gus membolehkan beliau beraksi dalam aksi pusingan 16 menentang Belgium.

Trump berkata beliau menjangkakan perlawanan tersebut akan berlangsung secara adil dan menambah beliau akan berpuas hati jika pasukannya tewas secara “adil”. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.