
JOHOR BAHRU, 24 Jun – Semua pihak terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 perlu menolak sentimen berkaitan kaum, agama dan Institusi Diraja (3R).
- Menteri tekankan tanggungjawab elak perkara sensitif yang boleh cetus ketegangan dan perpecahan.
- Beliau berharap isu sensitif yang termaktub dalam Perlembagaan tidak disentuh kerana menimbulkan kepekaan rakyat.
- Kenyataan dibuat ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026.
- SPR tetapkan tarikh penamaan calon 27 Jun, undian awal 7 Julai dan hari pengundian 11 Julai.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan, sikap bertanggungjawab itu penting bagi mengelak perkara sensitif yang berisiko mencetuskan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Itu kita harap jangan disentuh dalam PRN ini. Kita mengetahui 3R adalah perkara dalam Perlembagaan Persekutuan dan janganlah disentuh kerana ia akan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha berkenaan selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan keamanan, perpaduan dan kestabilan terus dinikmati seluruh rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRN Johor pada 27 Jun ini, manakala hari pengundian awal pada 7 Julai dan hari pengundian, pada 11 Julai.