
JOHOR BAHRU, 12 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada seluruh pengundi Johor yang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
- Ucapan terima kasih kepada jentera parti, parti komponen, Friends of BN, NGO dan sukarelawan yang bekerja keras sepanjang berkempen.
- Berikrar kerajaan negeri akan menunaikan manifesto dan meneruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan demi pembangunan Johor.
- BN melepasi sasaran dan memperoleh mandat lebih besar untuk terus mentadbir negeri selepas keputusan PRN Johor.
- Mengiktiraf kejayaan pentadbiran Datuk Onn Hafiz Ghazi serta berjanji pentadbiran penggal ini dilaksanakan dengan lebih baik.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada jentera parti, parti komponen, Friends of BN, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berikrar kerajaan negeri yang bakal dibentuk akan menunaikan segala manifesto serta meneruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan Johor terus diperkasa.
Pada PRN Johor ke-16, BN melepasi sasaran 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pencapaian itu katanya, bukan sahaja menyamai kemenangan 40 kerusi pada PRN Johor 2022, malah dijangka memberi mandat lebih besar kepada BN untuk terus mentadbir negeri.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai satu kejayaan cemerlang, selain pengiktirafan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilihat berjaya menerajui pentadbiran negeri sepanjang empat tahun lalu.
“Kami dengan rendah hati melalui Datuk Onn Hafiz dan kerajaan yang akan dibentuk atas perkenan Tuanku bahawa kami berjanji bahawa pentadbiran untuk penggal ini dilaksanakan dengan lebih baik,” ujarnya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, Johor Bahru.