PRN Johor: Dr Maszlee tawan Puteri Wangsa

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16/Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 11 Julai – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, sekali gus merampas kerusi itu untuk Pakatan Harapan (PH) dalam saingan lima penjuru.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dr Maszlee Malik menang kerusi DUN Puteri Wangsa untuk Pakatan Harapan dalam pertandingan lima penjuru.
  • Maszlee mendapat 41,821 undi; menewaskan Teow Chia Ling (36,077) dan calon lain dengan majoriti 5,744 undi.
  • Amira Aisya dari MUDA tidak mempertahankan kerusi itu pada PRN kali ini.
  • DUN Puteri Wangsa mempunyai 128,723 pengundi berdaftar, termasuk 198 pengundi anggota polis dan pasangan.

Beliau mengetepikan calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling; Sharifah Rashifa Syed Abdul Rashid Aljunied daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Nicholas Paul Vincent daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA); serta calon Bebas, Wang Wee Siong.

Dr Maszlee memperoleh 41, 821 undi untuk menewaskan Teow yang meraih 36,077 undi, Sharifah Rashifa (5,887 undi), Nicholas Paul Vincent (2,332 undi) dan Wang Wee Siong (227 undi) dengan majoriti 5,744 undi.

Kerusi DUN Puteri Wangsa sebelum ini disandang Amira Aisya Abd Aziz daripada MUDA yang tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.

Pada PRN Johor 2022, Amira Aisya memenangi DUN Puteri Wangsa selepas memperoleh 22,884 undi dengan majoriti 7,114 undi, menewaskan lima pencabar.

Sebelum itu, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, kerusi berkenaan dimenangi Mazlan Bujang yang ketika itu bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 24,959 undi.

DUN Puteri Wangsa mempunyai 128,723 pengundi berdaftar, terdiri daripada 128,525 pengundi biasa serta 198 pengundi anggota polis dan pasangan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.