
TEHRAN, 13 Julai – Usaha Iran bagi mencapai persetujuan dengan Oman untuk mewujudkan mekanisme bersama berkaitan Selat Hormuz, terjejas susulan tekanan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Oman.
- Iran dan AS saling melancarkan serangan peluru berpandu dan dron sepanjang hujung minggu hingga Isnin.
- Presiden AS Donald Trump berkata AS akan mengawal Selat Hormuz dan negara bergantung perlu membayar bagi keselamatan laluan.
- Penutupan Selat Hormuz diumumkan Iran selepas dakwaan pelayaran tanpa kebenaran; permit hanya dikeluarkan semula selepas keadaan stabil.
- Penutupan laluan utama penghantaran minyak itu mendorong kenaikan harga tenaga dan kebimbangan inflasi global.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, tekanan AS telah menghalang usaha kedua-dua negara mencapai persetujuan mengenai laluan perkapalan strategik itu.
Kenyataan itu dibuat ketika Iran dan AS saling melancarkan serangan peluru berpandu serta dron sepanjang hujung minggu hingga Isnin.
Sementara di Washington, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa negaranya bakal mengambil alih kawalan Selat Hormuz dan negara-negara yang mendapat manfaat daripada laluan perkapalan strategik itu perlu membayar kos bagi operasi keselamatannya.
Dalam wawancara telefon bersama program Fox & Friends terbitan Fox News pada Isnin, Trump berkata AS akan bertindak sebagai pelindung laluan tersebut.
“Kami akan mengekalkan Selat Hormuz dan mungkin mengendalikannya. Kami akan menjadi penjaga Selat Hormuz. Mungkin kami akan menggelarkan diri sebagai ‘guardian angel’ kepada selat itu. Dan kami sepatutnya dibayar bagi peranan itu,” katanya.
Trump berkata AS akan terus menjaga keselamatan laluan berkenaan dan menjangkakan bayaran yang besar daripada negara-negara yang bergantung kepada Selat Hormuz.
Selat Hormuz, yang menjadi laluan utama penghantaran minyak dunia, kini menjadi antara tumpuan utama konflik susulan tindakan Iran menyekat laluan berkenaan selepas asakan serangan AS dan Israel sejak 28 Februari lalu.
Sekali gus mendorong kenaikan harga tenaga dan meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi global.
Terbaharu, selepas mengumumkan penutupan Selat Hormuz pada Sabtu susulan dakwaan berlaku pelayaran tanpa kebenaran, Tehran memaklumkan pada Ahad bahawa laluan itu masih ditutup dan permit hanya akan dikeluarkan semula apabila keadaan kembali stabil.