Wabak kolera di Republik Afrika Tengah ragut 37 nyawa

Foto fail Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

BANGUI, 15 Julai – Republik Afrika Tengah berdepan penularan wabak kolera yang semakin membimbangkan apabila 436 kes disahkan dengan 37 kematian direkodkan, terutama di daerah kesihatan Bimbo dan Mbaiki.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada kes baharu dilaporkan dalam dua hingga tiga hari, menunjukkan langkah kawalan mula membuahkan hasil.
  • Kempen kesedaran awam dan kerjasama penduduk membantu mengawal penularan.
  • Kekurangan bekalan air bersih dan sabun di pasar menyukarkan perlindungan, peniaga hidup dalam ketakutan.
  • Hampir separuh kes melibatkan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun; pengesanan, rawatan, kebersihan dan bekalan air dipertingkat.

Pengurus Pasukan Tindak Balas Kolera negara itu, Dr. Germain Piamalet berkata, kesemua kes tersebut direkodkan sejak wabak itu diisytiharkan pada 26 Jun lalu.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh dua hingga tiga hari lalu, sekali gus menunjukkan langkah kawalan yang dilaksanakan mula membuahkan hasil.

“Situasi kini agak terkawal hasil tindakan kerajaan, khususnya kempen kesedaran awam serta kerjasama penduduk yang mematuhi langkah pencegahan,” katanya.

Di Pasar Bimbo, para peniaga mengakui kekurangan bekalan air bersih dan sabun menyukarkan usaha melindungi diri daripada jangkitan.

Seorang peniaga, Leocadie Samba berkata, penduduk hidup dalam kebimbangan kerana wabak itu boleh membawa maut.

“Kami tahu penyakit ini boleh membunuh, tetapi tidak tahu banyak mengenainya. Kerajaan perlu melakukan segala yang termampu untuk membantu kami.

“Kami sangat terdedah kerana tiada bekalan air dan sabun. Kami hidup dalam ketakutan setiap hari di pasar ini,” katanya.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF), hampir separuh daripada kes yang direkodkan membabitkan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun, sekali gus menjadikan golongan itu paling berisiko dijangkiti.

Penularan wabak juga dilaporkan merebak di sepanjang Sungai Ubangi yang bersempadan dengan Republik Demokratik Congo.

Wabak itu merupakan penularan kolera pertama di Republik Afrika Tengah sejak 2016, dengan pihak berkuasa memperhebatkan usaha pengesanan kes, rawatan pesakit, kempen kebersihan serta penyediaan bekalan air bersih bagi mengekang penularan penyakit tersebut.

Kolera merupakan penyakit bawaan air berpunca daripada bakteria Vibrio cholera yang menyebabkan cirit-birit dan muntah teruk sehingga mengakibatkan dehidrasi, dan boleh membawa maut jika tidak dirawat segera. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.