
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kerajaan memberi jaminan tidak akan mengurangkan subsidi sedia ada termasuk bantuan kepada rakyat, walaupun perbelanjaan subsidi petroleum dijangka meningkat susulan konflik di Asia Barat.
- BUDI95 membolehkan pengguna membeli petrol pada harga RM1.99 seliter semasa kemuncak krisis Mac dan April.
- Kerajaan memastikan bekalan bahan api mencukupi, mengelakkan orang beratur seperti di negara lain.
- Kestabilan harga dan bekalan adalah keunikan dan kelebihan utama pelaksanaan BUDI95.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menegaskan, pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) membolehkan pengguna terus membeli petrol pada harga RM1.99 seliter ketika kemuncak krisis pada Mac dan April lalu.
Beliau turut menekankan, kerajaan bukan sahaja mengekalkan harga petrol, malah memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi sepanjang tempoh berkenaan.
“Saya rasa dua sumbangan yang paling penting yang telah diperkenalkan dalam BUDI95 ialah satu, harga kekal semasa krisis di Asia Barat . Terutamanya pada Mac dan April. Kedua, kerajaan telah memastikan bekalan minyak terjamin. Bekalan minyak dipetik kerana di negara lain, rakyat mereka beratur untuk dapatkan petrol.
“Jadi kerajaan telah memastikan kestabilan harga petrol semasa krisis dan juga kestabilan bekalannya. Dan ini saya rasa adalah keunikan dan juga kelebihan BUDI95,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkaitan sama ada kerajaan bercadang mengurangkan subsidi bahan makanan dan bantuan tunai susulan peningkatan kos subsidi petroleum di Dewan Rakyat, hari ini.