
HONG KONG, 23 September – Harga minyak mentah dunia susut selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan bahawa wakil AS dan Iran telah mengadakan perbincangan yang sangat baik di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), New York.
- Minyak mentah Brent dan WTI susut ke AS$98.91 dan AS$89.93 setong dalam dagangan awal Asia.
- Arab Saudi dijangka memulakan semula operasi Saluran Paip Timur-Barat, menjejaskan eksport minyak.
- Aramco maklumkan kilang penapis Asia boleh mula ambil minyak dari pelabuhan Yanbu tidak lama lagi.
- Bursa Asia bercampur; Taiex naik 0.8 peratus, disokong keyakinan AI susulan pelancaran model lebih murah.
“Perjumpaan selama tiga jam itu berjalan sangat baik dan produktif serta satu lagi perbincangan susulan telah dijadualkan dalam masa terdekat,” jelas Trump kepada pemberita sewaktu pertemuan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Pada Rabu, penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent dan kontrak utama AS, West Texas Intermediate (WTI), masing-masing merosot kepada AS$98.91 dan AS$89.93 setong dalam dagangan awal di Asia.
Dalam pada itu, pasaran minyak turut dipengaruhi laporan pengeluar minyak terbesar dunia, Arab Saudi bakal memulakan semula operasi Saluran Paip Timur-Barat iaitu laluan eksport kritikal yang ditutup akibat konflik di Asia Barat.
Syarikat gergasi minyak Arab Saudi, Aramco dilaporkan memaklumkan kepada kilang penapis di Asia bahawa mereka boleh memulakan semula pengambilan minyak mentah dari pelabuhan Laut Merah di Yanbu tidak lama lagi.
Sementara itu, di pasaran saham, bursa Asia menunjukkan prestasi bercampur-campur.
Indeks Taiex Taiwan, yang didominasi syarikat pembuat cip gergasi TSMC, meningkat 0.8 peratus dipacu keyakinan baharu terhadap sektor kecerdasan buatan (AI).
Syarikat AI, Anthropic dan OpenAI melancarkan model AI baharu yang lebih murah secara serentak pada Selasa.
Berikut laporan harga minyak dan pasaran semasa:
West Texas Intermediate: TURUN 0.7 peratus pada AS$89.93 setong
Minyak Mentah Brent Laut Utara: TURUN 0.3 peratus pada AS$98.91 setong
Hong Kong – Indeks Hang Seng: TURUN 0.9 peratus pada 24,864.97
Shanghai – Komposit: TURUN 0.2 peratus pada 3,944.04
Tokyo – Nikkei 225: Ditutup bersempena cuti umum
Dolar/Yen: NAIK pada 157.64 berbanding 157.37 pada Selasa
Euro/Dolar: TURUN pada AS$1.1436 berbanding AS$1.1451
Pound/Dolar: TURUN pada AS$1.3324 berbanding AS$1.3344
Euro/Pound: NAIK pada 85.83 pence berbanding 85.81 pence