
SINGAPURA, 23 September – Syarikat gergasi media sosial, Meta, berjaya menyekat lebih 3.7 juta akaun, halaman serta kandungan yang dikaitkan dengan sindiket penipuan dalam talian (scam) sepanjang tahun ini hasil maklumat yang diberikan polis Singapura.
- Kerjasama strategik Meta dengan Pasukan Polis Singapura sejak dua tahun lalu membantu kenal pasti dan musnahkan ekosistem penipuan dalam talian.
- Meta memadam ratusan ribu hingga jutaan akaun dan halaman berkaitan penipuan, termasuk halaman kosong yang berisiko dibeli oleh penipu.
- Sindiket kini beroperasi berkelompok menggunakan AI untuk profil palsu, imej dan kod berniat jahat; Meta tingkatkan pertahanan dan perluas kerjasama.
“Kerjasama strategik dan perkongsian maklumat yang terjalin sejak dua tahun lalu antara Meta dan Pasukan Polis Singapura (SPF) membantu pihak penyiasat mengenalpasti serta memusnahkan keseluruhan ekosistem penipuan berkenaan,” jelas kenyataan Meta.
Eksekutif Meta memaklumkan antara Januari hingga Jun lalu, lebih 113,000 akaun dan halaman yang berkaitan penipuan serta penipuan kewangan di Facebook dan Instagram telah dipadamkan.
“Meta pada Jun lalu menumpaskan lebih 33,600 akaun dan halaman sindiket yang cuba mengambil kesempatan menjelang musim cuti sekolah kerana kebanyakan keluarga giat melayari laman web pelancongan untuk mencari tawaran percutian.
“Manakala pada Julai, tindakan diambil ke atas lebih 3.6 juta akaun dan halaman, yang sebahagian besarnya merupakan halaman kosong tanpa kandungan tetapi berisiko dibeli oleh ‘scammer’ untuk aktiviti penipuan pada masa hadapan,” katanya.
Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang Meta bagi Asia Pasifik, Daryl Poon berkata penipu kerap mengambil kesempatan atas jurang maklumat antara pelbagai platform dan negara.
“Maklumat daripada pihak polis membantu kami mengesan ancaman yang tidak dapat dilihat secara bersendirian, membolehkan rangkaian penipuan ini ditumpaskan sebelum ia menyasar lebih ramai mangsa,” katanya sambil menambah model kerjasama itu akan diperluas ke seluruh rantau ini.
Sementara itu, Pengarah Dasar Awam Meta bagi Asia Tenggara, Clara Koh memberi amaran sindiket penipuan kini beroperasi secara berskala industri dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan profil palsu secara pukal, mereka cipta gambar dan menjana kod berniat jahat.
“Meta akan terus melabur dalam meningkatkan pertahanan platform bagi mengesan serta memadamkan kandungan penipuan dengan pantas sebelum ia dilihat oleh pengguna,” tegas beliau.