
SYDNEY, 23 September – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mempertahankan draf undang-undang baharu berkaitan kawal selia media sosial susulan amaran daripada Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa perundangan itu boleh membawa kepada tindakan penapisan maklumat.
- Kedutaan AS di Canberra menyuarakan kebimbangan serius terhadap draf undang-undang yang meletakkan duty of care ke atas syarikat media sosial.
- Gergasi media sosial boleh dikenakan denda sehingga 109 juta Dolar Australia jika gagal melindungi pengguna muda daripada kandungan berbahaya.
- Perundangan mewajibkan perlindungan untuk bawah 18 tahun dan membenarkan pengguna memilih untuk menolak sistem algoritma berkuasa tinggi pada garis masa.
Kenyataan Albanese itu menyusul selepas Kedutaan AS di Canberra menyuarakan kebimbangan serius terhadap draf undang-undang berkenaan yang mengenakan tanggungjawab sepenuhnya (duty of care) ke atas syarikat gergasi media sosial.
Ketika diminta mengulas mengenai amaran Washington itu, Albanese yang kini berada di New York menegaskan akan sentiasa mempertahankan kepentingan nasional negaranya.
“Ini bukan soal memberi kawalan kepada kerajaan, sebaliknya memberi kembali kawalan kepada rakyat terhadap apa yang mereka terima pada peranti masing-masing.
“Atas sebab itulah undang-undang ini dirangka,” tegasnya.
Di bawah draf undang-undang tersebut, gergasi media sosial boleh dikenakan denda sehingga 109 juta Dolar Australia (AS$78 juta) jika gagal melindungi pengguna muda daripada kandungan berbahaya.
Syarikat media sosial akan dipertanggungjawabkan untuk melindungi pengguna berumur bawah 18 tahun daripada bahan pornografi, buli siber, kandungan yang mengagungkan jenayah serta bahan yang menggalakkan kecelaruan pemakanan.
Selain itu, perundangan baharu ini turut mewajibkan platform media sosial membenarkan pengguna memilih untuk menolak (opt out) sistem algoritma berkuasa tinggi yang menentukan paparan pada garis masa (feed) mereka.
Draf undang-undang berkenaan dijangka dibentangkan di Parlimen Australia akhir tahun ini selepas sesi konsultasi bersama syarikat media sosial, badan industri dan kumpulan masyarakat sivil selesai dijalankan.- AFP