Dikurung dan dipaksa jadi ‘scammer’, 39 warga Indonesia diselamatkan di Papua New Guinea

Gambar Hiasan Janaan AI

PORT MORESBY, 23 September – Empat warga China disyaki mendalangi sindiket penipuan dalam talian (online scam) selepas didakwa memaksa 39 warga Indonesia bekerja dari sebuah kediaman di ibu negara Papua New Guinea.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dikurung dalam bilik dan dipaksa melakukan aktiviti penipuan dalam talian.
  • Soal siasat sukar disebabkan halangan bahasa; pihak polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia.
  • Operasi membanteras rangkaian penyeludupan manusia berjaya menyelamatkan mangsa, menurut Pesuruhjaya Polis.
  • Polis bertegas tiada kompromi; tangkapan susulan dan kerjasama antarabangsa akan diteruskan untuk menumpaskan sindiket.

Kesemua mangsa dikurung dalam bilik dan dipaksa melakukan aktiviti penipuan terbabit.

“Kesemua mangsa masih dalam proses soal siasat. Ketika serbuan dilakukan, pegawai penyiasat mendapati agak sukar untuk berkomunikasi dengan mereka disebabkan halangan bahasa.

“Oleh itu, pihak polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi meneruskan siasatan,” kata sumber yang enggan dikenali kepada AFP.

Pesuruhjaya Polis, David Manning mengesahkan kesemua 39 mangsa berjaya diselamatkan dalam satu operasi membanteras rangkaian penyeludupan manusia.

“Tiada sebarang kompromi atau kelonggaran akan diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam sindiket terbabit. Beberapa lagi tangkapan susulan akan dilakukan,” tegas Manning.

Beliau menambah, empat suspek warga China yang ditahan dalam operasi itu dijangka berdepan pertuduhan berat di mahkamah.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Donald Yamasombi yang mengetuai operasi berkenaan menyatakan mereka yang ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia transnasional yang beroperasi di Asia Tenggara dan Pasifik.

Polis Papua New Guinea kini bekerjasama rapat dengan polis antarabangsa bagi mengenal pasti serta menumpaskan saki-baki rangkaian jenayah tersebut di luar negara.

“Kedutaan Indonesia akan dihubungi bagi urusan kebajikan dan keselamatan kesemua mangsa,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.