Menyemarakkan budaya pembelajaran tanpa henti kalangan mahasiswa baharu

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Ijazah ialah titik mula, bukan penamat; terus kemas kini kemahiran melalui pengalaman, pembetulan dan pembelajaran berterusan.
  • Dalam era AI dan automasi, fokuskan kepada pemikiran kritis, etika dan kreativiti empati yang tidak mudah diautomasikan.
  • Tolak budaya ilmu segera; pelihara kesabaran intelektual melalui bacaan tuntas, penulisan mendalam dan penyelidikan lapangan.
  • Bina ekosistem pembelajaran: kemahiran berbentuk T, perpustakaan sebagai budaya, sijil mikro, pengalaman luar kuliah dan jaringan industri.

Bulan September dan Oktober 2026 bakal menyaksikan gelombang baharu anak muda melangkah masuk ke gerbang universiti awam di seluruh Malaysia. Ada yang menggalas beg harapan sebagai mahasiswa prasiswazah, ada yang kembali dengan tekad lebih matang sebagai mahasiswa pascasiswazah.

Sorakan tahniah, ucapan selamat datang dan minggu orientasi yang meriah pastinya menjadi ritual tahunan.

Namun, dalam kemeriahan tersebut, satu persoalan kritis perlu dilontarkan: adakah mahasiswa kita masuk ke universiti untuk sekadar mendapatkan segulung ijazah, atau untuk memulakan sebuah perjalanan intelektual yang tidak pernah selesai?

Ijazah tidak lagi menjadi jaminan mutlak untuk masa depan yang selesa. Dunia pekerjaan hari ini berubah lebih pantas daripada pindaan kurikulum di bilik mesyuarat senat. Apa yang dipelajari pada semester pertama berkemungkinan usang sebelum majlis konvokesyen.

Oleh itu, naratif pembelajaran perlu diubah. Universiti bukan lagi stesen terakhir untuk menimba ilmu, sebaliknya ia adalah makmal awal untuk melatih diri menjadi pembelajar sepanjang hayat.

Inilah roh sebenar agenda pembelajaran tanpa henti yang perlu disemai dalam diri setiap mahasiswa baharu sesi 2026/2027.

Ijazah Bukan Garisan Penamat, Tetapi Titik Mula

Masyarakat kita masih terperangkap dalam pemikiran linear bahawa belajar bermula di sekolah dan berakhir di universiti. Pemikiran inilah yang melahirkan graduan yang berasa sudah cukup ilmu sebaik sahaja menyarung jubah konvokesyen.

Hakikatnya, model pembelajaran sebegini telah lapuk. Laporan Future of Jobs 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia menegaskan bahawa 44 peratus kemahiran teras pekerja akan berubah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ijazah Sarjana Muda yang diperoleh pada tahun 2026 mungkin hanya relevan 50 peratus sahaja menjelang tahun 2030.

Mahasiswa perlu memahami bahawa ijazah hanyalah lesen awal, bukan lesen kekal. Ia umpama lesen memandu. Memiliki lesen tidak menjadikan seseorang pemandu mahir di lebuh raya yang sesak dan mencabar.

Kemahiran sebenar dibentuk melalui pemanduan yang berterusan, melalui kesilapan, pembetulan dan penyesuaian.

Begitu jugalah dengan ilmu. Pembelajaran tanpa henti menuntut anjakan paradigma daripada credential-based learning kepada competency-based learning.

Soalannya bukan lagi berapa banyak A yang diperoleh, tetapi sejauh mana ilmu itu mampu diterjemah, diadaptasi dan diperbaharui secara berterusan.

Kelangsungan Ilmu dalam Gelombang Gangguan dan Kepintaran Buatan

Kemasukan mahasiswa baharu pada sesi 2026/2027 berlaku dalam landskap yang sangat berbeza. Mereka adalah generasi yang akan bersaing dan berkolaborasi secara langsung dengan Kepintaran Buatan Generatif (AI), automasi dan ekonomi gig yang semakin kompleks.

Jika dahulu graduan bersaing sesama mereka, hari ini mereka bersaing dengan algoritma. Dalam konteks ini, pembelajaran tanpa henti bukan lagi pilihan, tetapi prasyarat untuk terus relevan dan bermaruah.

Kepintaran Buatan mampu menghafal fakta dengan lebih pantas, menulis esei dengan lebih kemas dan menganalisis data dengan lebih cekap.

Namun, ada tiga wilayah yang masih menjadi kubu kuat manusia dan tidak mampu diautomasikan sepenuhnya, iaitu pemikiran kritis, kebijaksanaan etika dan kreativiti yang berempati.

Ketiga-tiga wilayah ini tidak diajar melalui hafalan semata-mata, tetapi melalui budaya membaca rentas disiplin, berdebat secara beradab, terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan dan berani mempersoalkan jawapan sedia ada.

Inilah inti pati pembelajaran sepanjang hayat yang melangkaui dinding kuliah. Mahasiswa yang hanya bergantung pada nota kuliah dan slaid pensyarah sebenarnya sedang menggali kubur kebolehpasarannya sendiri.

Paradoks Mahasiswa Baharu: Antara Semangat dan Selesa

Terdapat satu paradoks yang menarik dalam kalangan mahasiswa baharu hari ini. Mereka adalah generasi yang paling terdedah dengan lambakan maklumat.

Namun pada masa yang sama paling mudah terperangkap dalam keselesaan maklumat segera. Mereka mahu belajar, tetapi mahu belajar dengan cara yang pantas, ringkas dan menghiburkan.

Fenomena pembelajaran melalui video pendek selama 60 saat dan nota ringkas yang dijana oleh AI telah melahirkan budaya instant knowledge yang rapuh. Ilmu diperoleh dengan cepat, tetapi hilang dengan lebih cepat.

Budaya ini amat berbahaya kerana ia melahirkan ilusi tahu. Mahasiswa berasa sudah tahu segalanya kerana sudah menonton video penerangan selama tiga minit, sedangkan pemahaman mendalam memerlukan proses yang perlahan, sukar dan kadangkala membosankan.

Pembelajaran tanpa henti menuntut kesabaran intelektual. Ia memerlukan mahasiswa untuk kembali mencintai proses yang perlahan, iaitu membaca buku secara tuntas, menulis dengan nahu yang betul, berbincang sehingga larut malam dan melakukan penyelidikan lapangan yang meletihkan.

Tanpa kesabaran ini, universiti hanya akan melahirkan pengguna maklumat, bukan pencipta ilmu.

Strategi Membudayakan Pembelajaran Tanpa Henti di Menara Gading

Kesedaran tanpa strategi hanyalah angan-angan. Oleh itu, mahasiswa baharu perlu membina ekosistem pembelajaran peribadi yang mampan sejak minggu pertama di kampus.

Pertama, amalkan prinsip T-shaped Skills. Jadilah pakar yang mendalam dalam satu bidang pengajian teras, namun pada masa yang sama mempunyai pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang lain seperti literasi data, komunikasi, keusahawanan sosial dan penghayatan agama serta budaya.

Mahasiswa Pengajian Islam contohnya, perlu celik teknologi kewangan Islam dan analisis data, manakala mahasiswa kejuruteraan perlu memahami etika kemanusiaan dan kelestarian alam.

Kedua, ubah perpustakaan daripada lokasi menjadi budaya. Perpustakaan hari ini bukan sekadar bangunan yang menyimpan buku, tetapi ekosistem digital yang menghubungkan pangkalan data global. Jadikan ia rakan harian, bukan tempat yang dikunjungi hanya menjelang peperiksaan akhir.

Ketiga, manfaatkan pensijilan mikro dan pembelajaran terbuka. Universiti awam dan swasta kini menawarkan ratusan kursus sijil mikro yang diiktiraf industri.

Jangan berkira untuk mengambil sijil tambahan dalam bidang pengaturcaraan, bahasa asing, kaedah penyelidikan atau penulisan akademik. Setiap sijil itu ialah batu bata tambahan untuk membina istana ilmu yang lebih kukuh.

Keempat, belajar di luar bilik kuliah. Sertai persatuan, libatkan diri dalam mobiliti antarabangsa, lakukan kerja komuniti dan bina jaringan dengan industri. Pembelajaran yang paling berkesan sering kali berlaku di luar kurikulum formal.

Peranan Universiti dan Ekosistem Masyarakat Madani

Tanggungjawab menyemarakkan pembelajaran tanpa henti tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu mahasiswa. Universiti awam dan swasta sebagai institusi perlu berani melakukan reformasi pedagogi.

Kaedah kuliah sehala yang bersifat banking concept, di mana pensyarah memasukkan ilmu ke dalam minda mahasiswa yang dianggap kosong, perlu digantikan dengan pembelajaran berasaskan masalah, inkuiri dan projek komuniti.

Pensyarah perlu berperanan sebagai fasilitator dan pentafsir kebijaksanaan, bukan sekadar penyampai maklumat yang boleh digantikan oleh mana-mana platform AI.

Dalam kerangka Malaysia MADANI, budaya ilmu yang berterusan adalah teras kepada pembentukan negara yang berdaya saing dan berakhlak.

Konsep ilmu dalam tradisi Islam sendiri tidak pernah mengenal titik noktah. Daripada buaian hingga ke liang lahad, itulah falsafah pembelajaran tanpa henti yang sebenar.

Universiti harus menjadi pusat yang bukan sahaja melahirkan pekerja mahir, tetapi manusia seimbang yang cintakan ilmu kerana ilmu itu sendiri adalah ibadah dan tanggungjawab sosial.

Kesimpulan

Akhir kalam, kepada semua mahasiswa baharu sesi akademik 2026/2027, sedarilah bahawa anda memasuki universiti pada zaman yang paling mencabar, tetapi juga paling kaya dengan peluang.

Ijazah yang bakal anda genggam empat atau lima tahun dari sekarang hanyalah tiket masuk ke gelanggang perjuangan yang sebenar.

Apa yang akan membezakan anda dengan graduan lain dan dengan mesin bukanlah gred purata nilai, tetapi sejauh mana anda kekal lapar dan dahaga untuk terus belajar, membuang yang lapuk dan menerima yang baharu dengan penuh hikmah.

Jangan belajar untuk lulus peperiksaan, belajarlah untuk tidak mengulangi kesilapan sejarah. Jangan belajar untuk mendapat pekerjaan, belajarlah untuk mencipta pekerjaan dan memberi makna kepada masyarakat. Jadikan pembelajaran tanpa henti sebagai budaya, sebagai gaya hidup dan sebagai identiti.

Ia kerana pada hakikatnya, mereka yang berhenti belajar sebenarnya telah berhenti hidup, walaupun jasad mereka masih berjalan megah di atas pentas konvokesyen.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Nik Mohd Zaim Ab Rahim
Penolong Pengarah/Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur
E-mel: nmzaim.kl@utm.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.