
NEW YORK, 22 September – Malaysia dijangka akan kembali mendesak komitmen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk memperkukuh diplomasi multilateral, selain menyeru tindakan kolektif institusi global itu untuk diperkasa agar kekal relevan dalam mendepani cabaran dunia di pentas Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-81, yang berlangsung di sini.
- Memperkukuh multilateralisme dan mempertahankan undang-undang antarabangsa.
- Menangani isu Palestin dan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
- Menyokong reformasi PBB termasuk pembaharuan Majlis Keselamatan PBB.
- Menangani jurang pembangunan serta memacu Matlamat Pembangunan Mampan dan inisiatif UN80.
Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Nadzirah Osman berkata, perkara berkenaan dijangka menjadi antara fokus kenyataan negara yang akan disampaikan Datuk Seri Mohamad pada sesi debat umum UNGA, Sabtu ini.
“Kenyataan Yang Berhormat Menteri Luar pada sesi debat umum itu dijangka akan menyentuh, antara lain, beberapa perkara utama. Pertama, memperkukuh multilateralisme dan mempertahankan undang-undang antarabangsa.
“Kedua, isu Palestin dan ketegangan geopolitik di Asia Barat. Ketiga, reformasi PBB dan Majlis Keselamatan PBB. Keempat, menangani jurang pembangunan dan Matlamat Pembangunan Mampan, atau SDG dan Inisiatif UN80,” katanya kepada wartawan Malaysia, di sini.
Dengan tema “Memulihkan Kepercayaan, Mengurus Transformasi: PBB yang Berkesan untuk Semua.” sesi kali ini memberi penekanan kepada usaha memulihkan kepercayaan dan memperkukuh kerjasama global.
Datuk Seri Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA ke-81 dari 23 hingga 27 September dan dijadual menyampaikan kenyataan negara pada Sabtu, kira-kira 4.30 petang waktu tempatan.
Beliau turut dijadual menghadiri beberapa mesyuarat peringkat menteri dan sidang berkaitan.
Antaranya Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mesyuarat Menteri bagi menyokong Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), serta Mesyuarat Peringkat Tinggi bagi menangani ancaman kewujudan akibat kenaikan paras laut.
Beliau turut dijadual menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Peringkat Menteri Arab-Islam Bersama mengenai Baitulmaqdis pada Jumaat.
Selain itu, beliau akan mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dan pemimpin utama dari Nepal, Iran, Kuwait, Ghana, Bosnia dan Herzegovina serta Algeria.
Beliau juga dijadual bertemu Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Presiden Perhimpunan Agung PBB ke-81, Khalilur Rahman, serta Setiausaha Agung Komanwel, Shirley Botchway.
Datuk Nadzirah berkata, selain memperkukuh hubungan dua hala, pertemuan berkenaan penting untuk membina persefahaman mengenai isu serantau dan global.
Ini merupakan kali ketiga Datuk Seri Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung PBB sejak dilantik sebagai Menteri Luar Negeri pada Disember 2023.