
KUALA LUMPUR, 23 September – Jadual perkhidmatan Laluan Putrajaya mengalami kelewatan susulan gangguan pada sistem brek sebuah tren di Stesen Jalan Ipoh, hari ini.
- Waktu menunggu penumpang mungkin lebih panjang sementara kekerapan perkhidmatan diselaraskan.
- Perkhidmatan alternatif diaktifkan; beberapa tren berpatah balik dan perantara disediakan dengan kekerapan antara 5 hingga 7 minit.
- Pasukan teknikal digerakkan untuk pemeriksaan dan pemulihan; polis bantuan serta petugas stesen ditempatkan; maklumat dikemas kini melalui saluran rasmi.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, waktu menunggu penumpang mungkin sedikit lebih panjang sementara kekerapan perkhidmatan sedang diselaraskan.
Sehubungan itu, pihak operasi mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif bagi membantu pengguna meneruskan perjalanan.
Tren dari Stesen Kwasa Damansara akan berpatah balik di Stesen Jalan Ipoh dengan kekerapan lima minit.
Sementara itu, tren dari Stesen Hospital Kuala Lumpur akan berpatah balik di Stesen Putrajaya Sentral dengan kekerapan enam minit.
Perkhidmatan tren perantara dari Stesen Kentonmen ke Stesen Hospital Kuala Lumpur turut disediakan dengan kekerapan tujuh minit.
“Pasukan teknikal telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan kerja pemulihan sistem terbabit untuk mengembalikan operasi perkhidmatan kepada keadaan normal secepat mungkin,” menurut kenyataan itu hari ini.
Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan serta petugas stesen turut ditempatkan di stesen yang terjejas bagi memberikan bantuan dan panduan.
Pengumuman berkala mengenai status perkhidmatan turut dibuat di stesen dan dalam tren.
Manakala perkembangan lanjut akan dimaklumkan menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE.