
KUALA LUMPUR, 23 September – Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada 4.7 peratus pada 2026 dipacu oleh eksport, pelaburan berkaitan teknologi selain permintaan domestik yang kukuh.
- 97 peratus responden jangka pertumbuhan Asia Tenggara menyederhana atau mengukuh; 73 peratus jangka pertumbuhan kukuh atau amat kukuh.
- Vietnam dijangka 7.5 peratus; Thailand diunjur 1.9 peratus, mencerminkan perbezaan eksport dan pelaburan teknologi.
- 79 peratus responden jangka kadar pengangguran kekal; 14 peratus menjangka penurunan.
- Inflasi dijangka lebih menyederhana menurut 53 peratus, 41 peratus jangka peningkatan; kenaikan kos tenaga, makanan dan pertukaran asing menyumbang.
Menerusi laporan terkini Unjuran Ketua Ahli Ekonomi bagi September 2026, WEF memaklumkan prospek pertumbuhan Asia Tenggara kekal berdaya tahan.
“97 peratus daripada responden menjangkakan pertumbuhan di rantau Asia Tenggara akan menyederhana atau mengukuh dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 73 peratus menjangkakan pertumbuhan kukuh atau amat kukuh berbanding 69 peratus yang menjangkakan pertumbuhan sedemikian pada Mei lepas,” jelas WEF.
Tinjauan yang dijalankan pada 4 Ogos hingga 20 Ogos 2026, turut menunjukkan prestasi berbeza bagi unjuran di peringkat negara.
Vietnam dijangka mencatat pertumbuhan 7.5 peratus, manakala Thailand diunjur berkembang pada 1.9 peratus pada 2026, disokong oleh pelbagai tahap eksport dan pelaburan berkaitan teknologi serta permintaan domestik kukuh.
Jangkaan pasaran tenaga kerja juga kekal positif dengan 79 peratus responden mengunjurkan kadar pengangguran kekal tidak berubah, manakala 14 peratus menjangkakan penurunan.
Sementara itu, segmen pembuatan, eksport dan pelaburan yang berdaya tahan serta permintaan domestik yang stabil, terus menyokong pertumbuhan di seluruh Asia Tenggara.
Di samping itu, jangkaan inflasi juga bertambah baik sejak bulan Mei.
Tinjauan sama mendapati, 53 peratus responden menjangkakan inflasi yang lebih menyederhana, manakala 41 peratus mengunjurkan peningkatan inflasi dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Kadar inflasi bagi ekonomi sedang membangun di Asia Tenggara diunjurkan pada 3.9 peratus pada 2026 atau menokok daripada unjuran 3.2 peratus awal tahun ini, sekali gus mencerminkan peningkatan harga tenaga dan makanan global selain tekanan kadar pertukaran asing yang melonjakkan kos import di serata rantau itu.
“Pada masa sama, permintaan teknologi dan perbelanjaan isi rumah yang ketara serta pelaburan yang berdaya tahan turut menyokong aktiviti serantau walaupun peningkatan semula gangguan berpotensi melonjakkan kos tenaga dan perkapalan,” jelas WEF.