Hasil sektor OGSE berpotensi meningkat dalam tiga tahun – Akmal Nasrullah

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada sidang media MPRC International Market Access Programme’s Private OGSE Turkmenistan di ibu negara / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 September – Hasil sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) berpotensi meningkat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang menerusi peluasan pasaran antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • 14 syarikat OGSE Malaysia akan menyertai misi ke Turkmenistan pada Oktober untuk menilai peluang industri minyak dan gas.
  • Sektor OGSE merekodkan kira-kira RM79 bilion pengeluaran kasar dan RM39.4 bilion nilai ditambah pada 2023.
  • Malaysia mempunyai kira-kira 2,894 syarikat OGSE, 91 peratus adalah PMKS; IMAP bertujuan bantu mereka tembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha itu dapat mengukuhkan pendapatan sektor berkenaan serta meningkatkan daya tahan syarikat OGSE Malaysia.

“Apabila kita bercakap mengenai potensi pasaran minyak dan gas antarabangsa, negara-negara membangun merupakan pasaran yang baik untuk kita ceburi dan sebab itu, dari segi perancangan kita melalui International Market Access Programme (IMAP), Timor-Leste antara destinasi yang akan kita terokai.

“Namun, sudah tentu asas dan persediaan perlu dilakukan menerusi Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) untuk membina hubungan, menyediakan mekanisme serta benar-benar memudahkan proses tersebut,” katanya pada sidang media MPRC International Market Access Programme’s Private OGSE Turkmenistan, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, sektor OGSE menjana kira-kira RM79 bilion pengeluaran kasar dan RM39.4 bilion nilai ditambah pada 2023.

Katanya, 14 syarikat OGSE Malaysia akan menyertai misi ke Turkmenistan pada Oktober ini bagi menilai peluang dalam industri minyak dan gas negara Asia Tengah itu.

“Ketika ini, Malaysia mempunyai kira-kira 2,894 syarikat OGSE, yang mana 91 peratus terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Sebab itu usaha ini dilaksanakan bagi membantu meningkatkan potensi syarikat-syarikat berkenaan, termasuk meneroka peluang untuk mereka menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata pemilihan 14 syarikat itu dibuat berdasarkan keupayaan, kredibiliti serta kesediaan mereka meneroka peluang perniagaan di Turkmenistan.

Program berkenaan dilaksanakan MPRC menerusi IMAP bagi membantu syarikat OGSE tempatan mempelbagaikan pasaran dan memperluas operasi ke peringkat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.