
KUALA LUMPUR, 23 September – Malaysia melihat benua Afrika mempunyai potensi besar untuk pengeksport memperluaskan capaian pasaran serta mengembangkan perniagaan dalam rantaian industri halal global.
- Potensi pasaran Afrika dikenalpasti kerana bilangan penduduk besar dan permintaan terhadap produk pengguna Malaysia.
- Keseluruhan rantaian bekalan perlu terjamin halal, termasuk pembungkusan dan logistik untuk elakkan pencemaran silang.
- MIHAS memperkenalkan AI dan pembeli premium bagi memudahkan padanan perniagaan, memendekkan masa dan buka peluang PMKS.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, potensi benua Afrika dikenal pasti selepas mengambil kira jumlah penduduknya yang besar serta permintaan terhadap pelbagai kategori produk pengguna dari Malaysia.
Pada masa sama katanya, penyertaan kira-kira 13 negara dari benua Afrika pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, turut mencerminkan potensi pasaran itu dengan delegasi terbesar daripada Senegal.
“Benua Afrika mempunyai 1.4 bilion penduduk, ia angka besar dan sasaran ini tidak boleh diabaikan.
“Setiap benua yang mempunyai jumlah penduduk tinggi, sudah pasti akan menjadi sasaran terutamanya Barangan Pengguna Cepat Laris (FMCG) yang dipamerkan di MIHAS 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Penyumberan Antarabangsa (INSP) MIHAS 2026 di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai konsep halal eksport katanya, aspek keseluruhan rantaian bekalan perlu diberikan penekanan termasuk pembungkusan dan logistik bagi mengelakkan berlaku pencemaran silang yang boleh menjejaskan status halal sesuatu produk.
“Kalau semua status halal tetapi pembungkusan tidak halal, bagaimana boleh dikatakan halal? Akhir sekali, soal logistik juga penting.
“Sekiranya aspek logistik berlaku pencemaran silang, tidak boleh kata halal. Justeru, keseluruhan proses rantaian perlu terjamin halal,” jelasnya.
Selain itu, pada program INSP MIHAS 2026 yang berlangsung di sini, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) turut berpotensi menembusi pasaran lebih luas apabila kira-kira 50 pembeli premium menyertai program berkenaan, yang terdiri daripada syarikat global antaranya Kanada, Filipina, China dan Indonesia.
Sementara itu, MIHAS kali ini turut memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh padanan perniagaan antara pembeli antarabangsa dan syarikat Malaysia.
“Teknologi berkenaan membolehkan pembeli menyatakan keperluan mereka sebelum dipadankan dengan pembekal yang bersesuaian, seterusnya mengurangkan risiko ketidakpadanan serta memendekkan masa pencarian rakan niaga,” ujarnya.
Beliau berkata, penggunaan AI turut membolehkan hubungan dan peluang perniagaan diteruskan sepanjang tahun dan tidak terhad kepada tempoh penganjuran MIHAS sekali gus membuka ruang kepada pengeksport Malaysia membina hubungan pasaran secara berterusan.