
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Malaysia tidak pernah mengiktiraf kerajaan baharu Myanmar sejak tentera junta melaksanakan pilihan raya negara itu secara berperingkat pada Disember tahun lalu.
- Pertemuan dengan Menteri Luar Myanmar untuk mengekalkan momentum Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
- Pendekatan Malaysia tidak menjejaskan pendirian mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, tegas Menteri Luar.
- Libat urus dengan lebih 30 pemegang taruh di Myanmar bagi menyokong usaha pendamaian dan gencatan senjata.
- Libat urus tidak rasmi penting supaya ASEAN terus menerajui penyelesaian dan mengelakkan campur tangan kuasa luar.
Jelas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pertemuan beliau bersama Menteri Luar Myanmar, Tin Maung Swe pada bulan lepas, bertujuan mengekalkan momentum Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Pada masa sama, tegas beliau, ia sama sekali tidak menjejaskan pendirian Malaysia dan ASEAN berhubung pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).
“Perdana Menteri dan saya sendiri telah mengadakan pelbagai sesi libat urus serta pertemuan dengan pemegang taruh di Myanmar. Ada 30 lebih pemegang taruh di Myanmar dan beberapa kali kita berjumpa di Kuala Lumpur.
“Malaysia menitik beratkan pendekatan terangkum dan Malaysia akan terus menggesa, semua pihak terlibat untuk menghentikan keganasan, serta mewujudkan gencatan senjata dalam menyokong usaha pendamaian.
“Usaha ini dilihat pragmatik dan menyeluruh bagi menyokong peranan ASEAN untuk menerajui pemudah cara penyelesaian di Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada wakil Selayang, William Leong Jee Keen berhubung pendirian semasa dasar luar Malaysia terhadap kerajaan Myanmar dan kemajuan 5PC, di sini.
Mengulas lanjut katanya, libat urus secara tidak rasmi bersama Myanmar penting bagi memastikan ASEAN tidak kehilangan peranan utama dalam membantu negara itu, di samping mengekalkan dan mengelakkan campur tangan kuasa luar di Myanmar.