Syiling lama dikitar semula, ekonomi masyarakat diperkukuh

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Kempen Deposit Duit Syiling yang berlangsung di perkarangan Masjid Muhammadi Angkasapuri bertujuan menggalakkan masyarakat memanfaatkan semula syiling yang tersimpan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama dengan Safeguards membuka peluang deposit dan sumbangan syiling kepada masjid.
  • Pengerusi Masjid Hamzah menegaskan inisiatif galakkan amalan infak dan bantu urus simpanan syiling.
  • Program dilaksanakan sejak Julai tahun lalu di beberapa negeri, sekolah, masjid dan komuniti.
  • Ketua Pengarah Penyiaran turut menggunakan mesin deposit; program khas untuk kakitangan RTM bermula 8 pagi hingga 6 petang.

Sekali gus memudahkan proses deposit serta menyokong aliran edaran mata wang dalam ekonomi negara.

Program yang dijalankan dengan kerjasama syarikat Safeguards itu turut membuka peluang kepada orang ramai, khususnya warga kerja Jabatan Penyiaran, untuk mendepositkan syiling serta menyalurkan sebahagian daripadanya sebagai sumbangan kepada masjid.

Pengerusi Masjid Muhammadi Angkasapuri, Hamzah Ishak berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja memudahkan masyarakat menguruskan simpanan syiling, malah menggalakkan amalan infak dalam kalangan jemaah dan komuniti setempat.

“Program kita pada pagi ini bertujuan menggalakkan masyarakat membawa syiling yang tersimpan di rumah untuk didepositkan.

“Pada masa sama, mereka juga boleh menginfakkan sebahagian daripada syiling tersebut kepada masjid.

“Kita membantu usaha mengembalikan syiling yang terpendam ke dalam sistem ekonomi supaya dapat dimanfaatkan semula,” katanya.

Sementara itu, Perunding Projek Khas dan Pengurusan Syiling Safeguards, Abdul Malek Sultan berkata, kempen berkenaan telah dilaksanakan di beberapa negeri sejak diperkenalkan pada Julai tahun lalu sebagai usaha mendekatkan kemudahan deposit syiling kepada masyarakat.

“Tujuan utama program ini adalah untuk memudahkan proses deposit duit syiling.

“Syiling yang disimpan di rumah dapat dikembalikan ke dalam edaran, sekali gus membantu menggerakkan aktiviti ekonomi serta menyokong keperluan industri terhadap bekalan syiling,” jelasnya.

Beliau berkata, selain agensi kerajaan, program itu turut diperluaskan ke sekolah, masjid dan kawasan komuniti sebagai usaha meningkatkan kesedaran pengurusan kewangan dalam kalangan masyarakat.

Turut memeriahkan program ialah Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail yang turut sama menggunakan mesin deposit syiling yang disediakan.

Program berkenaan berlangsung bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang pada hari Khamis sehingga Jumaat ini, khusus untuk kakitangan RTM membuat deposit syiling masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.