
YAN, 25 Jun – Keputusan kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter bermula Julai ini disambut baik oleh pengguna, khususnya di Kampung Kuala Dulang Kecil, di sini.
- Penurunan harga diesel disambut baik penduduk, membantu meringankan beban kos sara hidup mereka.
- Perubahan itu memudahkan pergerakan harian, mengurangkan keperluan mencatu penggunaan kenderaan diesel.
- Peniaga dan pengguna bergantung diesel alami pengurangan kos operasi, meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan keluarga.
Tinjauan mendapati, rata-rata penduduk yang menggunakan kenderaan diesel menyifatkan langkah itu sebagai tepat dan amat membantu meringankan beban kos harian mereka.
Seorang penduduk, Ridzuan Ghazali, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dalam menangani kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, sebelum ini harga diesel yang tinggi menyebabkan ramai pengguna terpaksa mengehadkan penggunaan kenderaan diesel dan beralih kepada kenderaan petrol.
“Apabila harga diturunkan, ia sangat membantu terutama bagi kami yang bergantung kepada diesel untuk pekerjaan seperti nelayan,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Ahmad Shahini Ismail, turut menyifatkan penurunan harga itu sebagai langkah terbaik yang memberi kelegaan kepada rakyat.
“Daripada sekitar RM4 sebelum ini kepada RM2.10, ia benar-benar membantu. Pergerakan harian kini lebih selesa tanpa perlu mencatu penggunaan kenderaan,” ujarnya yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk urusan kerja.
Bagi Halim Mohamad pula, penurunan harga diesel memberi impak besar kepada mereka yang menggunakan kenderaan setiap hari bagi tujuan pekerjaan.
“Ia memudahkan urusan harian dan mengurangkan beban kos operasi, terutamanya bagi mereka yang membawa barangan,” katanya.
Sementara itu, peniaga, Hanafi Abd Manaf berkata, pengurangan harga diesel turut memberi kesan positif kepada pendapatannya.
“Setiap minggu saya perlukan antara 70 hingga 80 liter diesel untuk ulang-alik ke pasar borong Alor Setar dan Sungai Petani. Dengan harga baharu ini, kos dapat dikurangkan dan pendapatan meningkat,” jelasnya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi sebagai langkah meringankan beban rakyat serta memastikan kesejahteraan golongan yang bergantung kepada bahan api tersebut dalam aktiviti harian mereka.