UPSI sasar i-Furqan sebagai pusat rujukan pendidikan tahfiz dunia

Prof Dr. Azmi (tiga dari kanan) dan Prof Dr. Mohamad Rozaimi (empat dari kanan) pada Majlis Syarahan Budiman di Dewan Konvensyen, Kampus Sultan Abdul Jalil/Foto UPSI

TANJONG MALIM, 25 Jun – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyasarkan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami atau i-Furqan menjadi pusat rujukan pendidikan tahfiz, bukan sahaja di peringkat nasional malah nusantara dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh pembangunan pendidikan Islam negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penaiktarafan Jabatan Pendidikan Islam kepada i-Furqan diumumkan tahun ini, menyokong aspirasi pengembangan institusi.
  • UPSI mendokumentasikan setiap fasa pembangunan i-Furqan termasuk pembinaan bangunan baharu sebagai legasi untuk generasi akan datang.
  • Penghargaan kepada Prof Mohamad Rozaimi atas jasa dalam fiqh dan usul fiqh; pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UniSIRAJ mengiktiraf UPSI.
  • Syarahan menekankan nilai ilmu hadis, cabaran pascamodenisme, ledakan maklumat dan AI, serta kepentingan metodologi penilaian riwayat.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Prof Dr. Azmi Mohamad, aspirasi itu selaras dengan penaiktarafan Jabatan Pendidikan Islam (JPI) kepada i-Furqan yang diumumkan secara rasmi tahun ini.

“Kita mahu melihat i-Furqan melangkah lebih jauh. Peranannya bukan sahaja di UPSI tetapi juga di peringkat nasional.

“Kita mahu melihat bagaimana i-Furqan boleh membantu memperkasa dasar pendidikan tahfiz negara serta menjadi pusat rujukan yang dicontohi bukan sahaja di Malaysia malah di Nusantara dan luar negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Syarahan Budiman Prof Dr. Mohamad Rozaimi Ramle yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Kampus Sultan Abdul Jalil UPSI, pada Rabu.

Menurutnya, UPSI turut mendokumentasikan setiap fasa pembangunan i-Furqan termasuk pembinaan bangunan baharunya sebagai sebahagian daripada usaha membina legasi institusi tersebut untuk generasi akan datang.

“Kita mahu melihat di mana kedudukan i-Furqan dalam tempoh 30 tahun akan datang dan bagaimana sumbangannya kepada masyarakat serta negara,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi turut merakamkan penghargaan kepada Prof Dr. Mohamad Rozaimi Ramle atas sumbangan besar beliau dalam bidang fiqh dan usul fiqh yang bukan sahaja mengharumkan nama UPSI, malah mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tambahnya, pelantikan Mohamad Rozaimi sebagai Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) membuktikan keupayaan serta kecemerlangan bakat yang dilahirkan UPSI.

“Ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada UPSI apabila bakat yang kita miliki diberi kepercayaan untuk memimpin sebuah institusi pendidikan tinggi yang penting,” ujar beliau.

Dalam syarahan bertajuk “Ilmu Hadis dan Realiti Pascamodenisme: Menyuluh Kebenaran di Celah Kebanjiran Maklumat”, Mohamad Rozaimi menjelaskan bahawa ilmu hadis merupakan warisan keilmuan Islam yang sangat bernilai dalam memastikan kesahihan setiap riwayat yang disandarkan kepada Rasulullah SAW.

Mohamad Rozaimi menjelaskan bahawa era pascamodenisme membawa cabaran baharu kepada masyarakat apabila muncul kecenderungan menolak naratif besar, menganggap kebenaran sebagai sesuatu yang relatif serta menerima pelbagai pandangan tanpa penilaian yang berasaskan ilmu.

“Dalam dunia yang dipenuhi ledakan maklumat melalui internet dan teknologi kecerdasan buatan (AI), masyarakat berdepan kesukaran untuk membezakan antara maklumat yang sahih dan yang palsu.

“Justeru, pemahaman terhadap ilmu hadis dan metodologi penilaian riwayat menjadi semakin penting,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.