LTdL 2026 ketengah cabaran paling sukar, tiga penamat di puncak bukit

foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Jun – Kejohanan lumba basikal berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 akan melakar sejarah baharu bersempena sambutan ulang tahun ke-30 penganjurannya, apabila menampilkan tiga penamat di puncak bukit iaitu Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlumbaan 27 Sept hingga 4 Okt, menampilkan laluan paling sukar dan kembalinya tradisi pendakian 'back-to-back'.
  • Jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer merentasi lapan negeri di Semenanjung, memberi cabaran geografik dan logistik ketara.
  • 20 pasukan jemputan termasuk World Team, Pro, Continental dan pasukan kebangsaan telah mengesahkan penyertaan penuh.

Perlumbaan itu dijadualkan berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober depan dengan menyediakan laluan paling sukar pernah ditampilkan, termasuk kembalinya tradisi pendakian ‘back-to-back’ yang amat dinantikan oleh peminat sukan berbasikal tanah air.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, LTdL kali ini akan menjelajah ke lapan buah negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer.

Lapan negeri terlibat iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang dan Kedah.

“Bersempena ulang tahun ke-30 LTdL, kejohanan ini menjanjikan cabaran paling sukar dalam sejarah penganjuran apabila menyediakan tiga penamat di puncak bukit, sekali gus menjadi igauan setiap pelumba.

“Ini amat-amat istimewa sekali tahun ini. Pendakian Gunung Jerai diperkenalkan buat pertama kali di peringkat kedua, dari Taiping ke puncak Gunung Jerai.

“Walaupun pendakian ini dilabelkan sebagai pendakian kategori 1, namun permulaan mendaki dari paras laut di kaki gunung ke ketinggian menghampiri 1,000 meter pasti menjanjikan pengalaman yang cukup mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran LTdL edisi ke-30 di Putrajaya.

Dr Mohammed Taufiq memaklumkan, 20 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam edisi kali ini.

“KBS mengharapkan barisan pelumba negara daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling Team (MPC), dan pasukan kebangsaan Malaysia mampu memamerkan aksi bertenaga,” katanya.

Bersandarkan pencapaian luar biasa Noraiman Rosli (TSG) yang meraih podium tempat kedua di Peringkat 7 LTdL 2025 melalui kayuhan ‘breakaway’, pelumba tempatan digesa membuat persediaan rapi bagi mengulangi magis tersebut.

Keyakinan antarabangsa terhadap LTdL kekal utuh apabila kesemua 20 pasukan jemputan merangkumi kategori World Team, Pro Team, Continental Team, dan pasukan kebangsaan telah mengesahkan penyertaan mereka sepenuhnya sebelum majlis pelancaran rasmi hari ini.

Pengiktirafan LTdL 2025 sebagai penganjuran terbaik dan paling selamat menjadi pendorong utama kehadiran pasukan-pasukan elit ini.

Perlumbaan berprestij ini akan disiarkan secara langsung menerusi penstriman digital di Facebook, YouTube, serta rangkaian televisyen tempatan dan antarabangsa sepanjang lapan hari kejohanan berlangsung.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.