Isu NSM: Malaysia serah notis kepada Norway, tuntut ganti rugi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Malaysia mengambil langkah tegas dengan menyerahkan notis rasmi kepada Kerajaan Norway bagi menuntut ganti rugi susulan pembatalan kontrak pembelian sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • MINDEF minta Norway memudahkan rundingan dan menjadi pengantara supaya syarikat bayar tuntutan ganti rugi.
  • Kerajaan sedia menyelesaikan isu melalui rundingan atau tindakan undang-undang.
  • PAC menerima taklimat MINDEF; gesa perkuat mitigasi dan saluran diplomasi demi lindungi kedaulatan fiskal.
  • Malaysia teruskan saman terhadap Kongsberg walaupun Norway memohon maaf selepas pembatalan lesen eksport NSM.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersama Kementerian Luar telah menyerahkan notis rasmi kepada Kerajaan Norway bagi memaklumkan pendirian tegas serta tindakan lanjut Malaysia.

Langkah diplomatik itu diambil bagi memastikan negara berkenaan bertindak sebagai pengantara (mediator) dalam sebarang rundingan atau tindakan undang-undang yang bakal menyusul.

“Kita memang bersedia untuk menyelesaikan perkara ini dan sebab itulah sejak awal lagi, kita sudah menghantar notis dan sebagainya.

“Saya percaya Kementerian Luar telah hantar surat kepada Kerajaan Norway untuk menyatakan sekurang-kurangnya Kerajaan Norway mainkan peranan ‘facilitate’ (memudahkan), ‘mediate’ (pengantara) antara Kementerian Pertahanan dengan syarikat berkenaan, supaya syarikat itu boleh bayar tuntutan ganti rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan di ibu negara, hari ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memaklumkan pihaknya telah menerima taklimat khas daripada MINDEF berhubung isu pembatalan kontrak dengan syarikat pembekal, Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) itu.

Sehubungan itu, PAC menegaskan agar kerajaan memperkukuh segala langkah mitigasi dan saluran diplomasi bagi menjamin penyelesaian yang adil, sekali gus memastikan kedaulatan fiskal negara terus terpelihara.

Pada Mei lalu, Mohamed Khaled dipetik berkata, Malaysia akan meneruskan tindakan saman terhadap pembekal NSM yang berpangkalan di Norway susulan kegagalan syarikat itu menyerahkan aset berkenaan selepas lesen eksport dibatalkan oleh kerajaan negara tersebut.

Tindakan undang-undang itu diteruskan walaupun Menteri Pertahanan Norway, Tore O. Sandvik, telah menyampaikan permohonan maaf berhubung keputusan kerajaan negaranya membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia.

Sebelum ini, Kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM dan sistem pelancar berkaitan kepada Malaysia atas alasan melindungi keselamatan negara berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.