Insiden buli tular di Alor Setar, motif cemburu

Foto Hiasan

ALOR SETAR, 25 Jun – Tular di media sosial, satu insiden buli membabitkan tiga remaja lelaki di Taman Uda di sini dipercayai berpunca daripada salah faham berkaitan teman wanita, sehingga mengundang tindakan ganas terhadap mangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa berusia 14 tahun, pelajar SMK Syed Omar; mengenali kedua suspek sejak darjah satu dan mereka rakan sekelas.
  • Mangsa ditendang di perut hingga rebah, ditendang sisi badan, dan ditolak ketika berada di atas tanah; tidak memaklumkan kepada keluarga atau sekolah.
  • Tiada tangkapan setakat ini; kes diklasifikasikan sebagai saman dan masih dalam siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku pada 16 Jun lalu kira-kira pukul 5.30 petang di sebuah padang bola di taman perumahan berkenaan.

Menurut beliau, laporan dibuat oleh bapa mangsa berusia 53 tahun pada 20 Jun selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya mengenai rakaman video yang menunjukkan anaknya dipukul oleh dua remaja, yang kemudiannya tular di media sosial.

“Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 14 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Omar, mengenali kedua-dua suspek sejak darjah satu dan mereka juga merupakan rakan sekelas serta tinggal di kawasan perumahan berhampiran.

“Berdasarkan keterangan mangsa, salah seorang suspek bertindak memukulnya selepas menerima dakwaan bahawa mangsa mengganggu teman wanitanya. Namun, mangsa menafikan tuduhan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan lanjut mendapati mangsa telah ditendang di bahagian perut sehingga rebah sebelum sekali lagi ditendang di sisi badan. Seorang lagi suspek turut menolak mangsa menggunakan kaki ketika mangsa berada di atas tanah.

Mangsa bagaimanapun tidak memaklumkan kejadian itu kepada pihak sekolah atau ibu bapanya kerana tidak mahu memperbesarkan isu berkenaan.

Tambah Syed Basri, tiada tangkapan dilakukan setakat ini kerana kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes saman.

Kes tersebut kini dalam siasatan lanjut pihak polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.