
KUALA LUMPUR, 25 Jun — Seorang ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Fakhrudin Abd Karim didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM18 juta antara tahun 2021 hingga 2025.
- Didakwa atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM18 juta antara 2021 hingga 2025.
- Didakwa memindahkan RM10.54 juta untuk pembinaan banglo, RM2.66 juta bayar kad kredit, dan RM4.7 juta bagi pembayaran kenderaan mewah.
- Kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam; jaminan RM500,000 dengan dua penjamin, serah pasport dan larangan ganggu saksi.
Fakhrudin, 57 tahun, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Tertuduh didakwa memindahkan RM10.54 juta hasil aktiviti haram bagi pembayaran pembinaan banglo miliknya di Bandar Kundang, Gombak, selain RM2.66 juta untuk menjelaskan bayaran kad kredit.
Dia turut didakwa memindahkan RM4.7 juta bagi pembayaran beberapa kenderaan mewah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Bangsar dan Bukit Bintang antara 6 Januari 2021 hingga 21 April 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Mahkamah membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama kes terdahulu serta mengekalkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin.
Syarat tambahan dikenakan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi, manakala sebutan kes ditetapkan pada 7 Ogos.
Pada 16 Jun lalu, Fakhrudin mengaku tidak bersalah atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah lebih RM98 juta.