
SINGAPURA, 25 Jun – Singapura akan menaikkan caj Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVP) bagi teksi berdaftar Malaysia yang memasuki republik itu kepada S$15 (kira-kira RM47.70) bagi setiap perjalanan, berkuat kuasa 1 Januari 2027.
- LTA berkata kadar baharu bertujuan mengurangkan jurang kos operasi antara teksi berdaftar Malaysia dan teksi berdaftar Singapura.
- Hanya teksi Malaysia berlesen PSVL dan PSVP ASEAN yang dikeluarkan LTA dibenarkan menjalankan perkhidmatan rentas sempadan.
- LTA menasihatkan guna teksi berlesen; perkhidmatan tidak berlesen berisiko tiada perlindungan insurans, dan penguatkuasaan akan diteruskan.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan kadar baharu itu meningkat berbanding caj semasa sebanyak S$2 sebulan, bagi mengurangkan jurang kos operasi antara teksi berdaftar Malaysia dan teksi berdaftar Singapura yang menawarkan perkhidmatan di republik itu.
“Hanya teksi berdaftar Malaysia yang dilesenkan dengan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVL) yang sah dan PSVP ASEAN yang dikeluarkan oleh LTA dibenarkan mengendalikan perkhidmatan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
“Pengunjung dinasihatkan supaya menggunakan hanya teksi berlesen untuk perjalanan rentas sempadan kerana hanya teksi ini mempunyai perlindungan insurans yang sah,” menurut kenyataan itu.
LTA turut memberi amaran penumpang yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan tidak berlesen, berisiko tidak mendapat perlindungan insurans atau pampasan sekiranya berlaku kemalangan.
“LTA akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap perkhidmatan pengangkutan terus (point-to-point) haram bagi melindungi keselamatan penumpang serta mata pencarian pemandu berlesen,” menurut kenyataan itu.