
GENEVA, 25 Jun – Seorang pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa seorang remaja Palestin berusia 14 tahun ditembak mati oleh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki sebelum dibiarkan berdarah sehingga meninggal dunia.
- Sidoti mendakwa tentera Israel menghalang bantuan perubatan, meletakkan bukti palsu dan merampas serta menahan mayat mangsa.
- Suruhanjaya PBB mendapati pihak berkuasa Israel melanggar norma undang-undang antarabangsa dan menuntut akauntabiliti terhadap yang bertanggungjawab.
- Laporan menuduh sasaran terhadap kanak-kanak Palestin merupakan jenayah genosid di Gaza dan jenayah perang di Tebing Barat; Israel menafikan dakwaan.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki dan Israel, termasuk Baitulmaqdis Timur, Chris Sidoti, berkata kejadian itu berlaku pada November tahun lalu ketika remaja terbabit keluar dari rumahnya, dalam keadaan tiada pertempuran aktif berlaku di kawasan berkenaan.
“Remaja itu ditembak oleh anggota rondaan tentera Israel, mengalami kecederaan parah dan dibiarkan terbaring selama kira-kira 45 minit tanpa menerima sebarang bantuan.
“Sekumpulan anggota tentera Israel berada berhampiran mangsa sepanjang tempoh itu sebelum remaja berkenaan meninggal dunia akibat kehilangan darah,” tegas Sidori.
Beliau turut mendakwa tentera Israel menghalang ibu mangsa serta petugas perubatan daripada memberikan bantuan kecemasan.
Menurut Sidoti, ibu mangsa yang menyaksikan kejadian itu dari rumah cuba mendapatkan anaknya, namun turut ditembak ketika cuba menghampiri lokasi kejadian.
Beliau juga mendakwa anggota tentera Israel meletakkan seketul batu berhampiran mangsa bagi menggambarkan seolah-olah remaja itu membaling batu ke arah pasukan rondaan.
“Tentera Israel merampas mayat remaja berkenaan dan sehingga kini masih belum menyerahkannya kepada keluarga untuk dikebumikan,” katanya.
Beliau menegaskan suruhanjaya itu mendapati pihak berkuasa Israel melanggar pelbagai norma undang-undang antarabangsa dalam layanan terhadap kanak-kanak Palestin, dan mereka yang bertanggungjawab perlu dipertanggungjawabkan.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki dan Israel, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Israel, yang diterbitkan baru-baru ini turut mendakwa tindakan menyasarkan kanak-kanak Palestin secara sengaja oleh tentera Israel merupakan jenayah genosid di Gaza serta jenayah perang di Tebing Barat.
Israel sebelum ini menolak dakwaan serupa yang dibuat oleh badan-badan PBB, termasuk tuduhan melakukan jenayah perang dan genosid, serta menegaskan operasinya dijalankan mengikut undang-undang antarabangsa.