81 kes denggi di Perak, kerja pembersihan dipergiat

Sebanyak 1,248 kes denggi direkodkan di Perak setakat minggu 24/2026 / Foto Janaan AI & RTM

IPOH, 25 Jun – Sebanyak 81 kes denggi direkodkan di Perak pada Minggu Epid 24/2026, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif tahun ini kepada 1,248 kes.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sembilan daerah catat kes denggi, Kinta rekod jumlah tertinggi berbanding daerah lain.
  • Kerja pembersihan diperhebat; PKD diaktifkan, turun padang bersama combi dan NGO untuk kenal pasti dan bersihkan lokasi 'hotspot'.
  • Kes menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu dan satu kematian akibat denggi direkodkan di Muallim.

Sembilan daerah mencatatkan kes denggi pada minggu berkenaan, dengan jumlah tertinggi direkodkan di daerah Kinta (68 kes), diikuti Manjung (4 kes), Kerian serta Larut Matang dan Selama masing-masing dua kes.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, sesi libat urus dengan pihak terlibat dilaksana bagi mempergiat kerja-kerja pembersihan di lokasi ‘hotspot’.

“Saya telah berbincang dengan pihak terlibat supaya Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) diaktifkan dan kita turun padang bersama-sama dengan combi dan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk mengenal pasti lokasi ‘hotspot’ bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, jumlah kumulatif Minggu Epid 24/2026 yang merekodkan 1,248 kes itu, menunjukkan peningkatan sebanyak 196 kes, berbanding 1,052 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Selain itu, satu kes kematian akibat denggi turut direkodkan tahun ini di daerah Muallim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.