
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) menyita 43 kenderaan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan di sekitar Taman Rekreasi Kampung Tasik Tambahan, Ampang hari ini.
- Operasi mengesan 199 kesalahan hasil pemeriksaan 83 kenderaan; 199 notis saman dikeluarkan.
- Risikan seminggu mendedahkan warga asing dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan India melakukan pelbagai kesalahan.
- 12 kenderaan milik warga tempatan disewakan kepada warga asing untuk aktiviti perniagaan menggunakan motosikal dan kenderaan roda tiga.
- JPJ tegaskan pemilik bertanggungjawab; tindakan tegas termasuk penyitaan dan prosiding mahkamah akan diambil ke atas kesalahan serius.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata operasi yang dilaksanakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu memberi tumpuan kepada kesalahan termasuk lesen memandu tidak sah, cukai jalan tamat tempoh, ketiadaan perlindungan insurans serta pelanggaran spesifikasi teknikal kenderaan.
Menurut beliau, hasil risikan yang dijalankan selama seminggu berjaya mengesan pelbagai kesalahan melibatkan warga asing dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan India.
“Sepanjang operasi, sebanyak 83 kenderaan diperiksa dengan 199 kesalahan dikesan dan 199 notis saman dikeluarkan.
“Daripada jumlah itu, 12 kenderaan milik rakyat tempatan didapati disewakan kepada warga asing bagi tujuan menjalankan aktiviti perniagaan menggunakan motosikal dan kenderaan roda tiga,” katanya.
Sehubungan itu, Hamidi menegaskan bahawa pemilik kenderaan berdaftar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggunaan kenderaan masing-masing, termasuk jika membenarkan warga asing memandu tanpa lesen sah bagi tujuan komersial.
“Kesalahan seperti penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM), ketiadaan insurans serta pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran adalah serius dan boleh dikenakan tindakan tegas,” jelasnya.
Tambah beliau, semua kenderaan yang terlibat akan disita dan kes akan dibawa ke mahkamah sehingga selesai.
JPJ WPKL turut memberi jaminan akan terus memperhebat operasi pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta membanteras penyalahgunaan kenderaan untuk tujuan komersial yang melanggar undang-undang.