
JOHOR, 25 Jun – Segamat Inland Port (SIP) yang merupakan anak syarikat Lembaga Pelabuhan Klang hari ini memeterai Perjanjian Pajakan bersama Infinity Landbridge Express Sdn. Bhd bagi mengaktifkan semula operasinya.
- Pengaktifan semula dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi Johor Utara.
- Memperkukuh rangkaian logistik negara dan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan serta rantaian bekalan.
- Membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, khususnya dalam sektor keselamatan dan logistik.
- Dilengkapi kemudahan Kastam, mampu mengendalikan sehingga 6,000 TEU sebulan dan mengurangkan kira-kira 18,000 pergerakan treler bulanan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengaktifan semula SIP dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi Johor Utara.
Selain memperkukuh rangkaian logistik negara serta meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan dan rantaian bekalan Malaysia.
Menurut beliau, langkah itu turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, khususnya dalam sektor keselamatan dan logistik.
SIP yang dilengkapi dengan kemudahan perkhidmatan Kastam disasarkan mampu mengendalikan sehingga 6,000 TEU kontena sebulan, sekali gus meningkatkan keupayaan pengendalian kargo di kawasan pedalaman.
Dalam masa sama, penggunaan rangkaian rel secara optimum dijangka dapat mengurangkan kira-kira 18,000 pergerakan treler di jalan raya setiap bulan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselamatan jalan raya.
Anthony Loke menegaskan, usaha menggalakkan pengangkutan kargo menggunakan rel perlu diperkasa bagi mengurangkan kebergantungan kepada trak.
“Landasan rel ini perlu dioptimumkan kerana ia mampu menjana pulangan kepada KTM dari segi hasil, selain selari dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak pengangkutan kargo menggunakan kereta api.
“Usaha ini juga penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada trak serta mengurangkan jumlah kenderaan berat di jalan raya.
“Sekiranya inisiatif ini diteruskan dan semakin banyak pihak beralih kepada pengangkutan rel sebagai alternatif.
“Ia bukan sahaja dapat mengurangkan penggunaan trak di jalan raya, malah turut menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan jalan raya,”katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan bagi Pengaktifan Semula Segamat Inland Port sebagai Pemacu Pertumbuhan Ekonomi Johor Utara, di sini hari ini.
Pelaksanaan projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat terlibat melalui penetapan kadar sewa bulanan bagi tempoh sehingga 30 tahun.
Untuk rekod, SIP ditubuhkan pada tahun 1997 sebagai hab logistik pedalaman yang menghubungkan kawasan pengeluaran, perindustrian dan perdagangan di Johor Utara dengan pelabuhan utama negara melalui rangkaian rel.
Bagaimanapun, operasinya sebelum ini tergendala akibat kekurangan daya saing dalam industri logistik.