
SEREMBAN, 25 Jun – Golongan asatizah muda perlu berperanan sebagai benteng utama dalam mempertahankan akidah dan membimbing masyarakat, menghadapi cabaran era digital yang semakin kompleks.
- Asatizah perlu menangani pengaruh media sosial yang membentuk pemikiran generasi muda dan mencegah sumber ilmu agama tidak berautoriti.
- Peperangan terbesar sekarang adalah peperangan pemikiran; asatizah muda wajar menjadi barisan hadapan mempertahankan kefahaman agama.
- Bawa pendekatan Islam sederhana, rahmah dan penyatu, pelihara adab ketika berbeza pendapat dan luaskan dakwah ke medium digital serta institusi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peranan itu amat penting memandangkan media sosial kini berupaya mempengaruhi serta membentuk pemikiran generasi muda.
“Jika dahulu kita bimbang anak muda tidak datang ke masjid, hari ini kita perlu lebih bimbang apabila mereka mendapatkan ilmu agama daripada sumber yang tidak berautoriti.
“Sebab itu, saya sering mengatakan bahawa peperangan terbesar generasi kita bukan peperangan fizikal tetapi peperangan pemikiran. Dalam peperangan ini, asatizah muda adalah barisan hadapan yang paling penting” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) Peringkat Negeri Sembilan 2026 yang menyaksikan kehadiran lebih 1,000 asatizah di sini, hari ini.
Selain itu, Datuk Seri Aminudidn turut menggesa asatizah muda supaya membawa pendekatan Islam yang sederhana, rahmah dan menyatukan, di samping memelihara adab ketika berlaku perbezaan pandangan.
Katanya lagi, dakwah kini tidak boleh tertumpu di masjid dan surau semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan ke pelbagai medium termasuk media sosial, institusi pendidikan, tempat kerja dan ruang digital agar masyarakat khususnya generasi muda terus mendapat bimbingan berasaskan ilmu yang sahih.