HAMKA Negeri Sembilan himpun 1,000 asatizah muda

Foto RTM

SEREMBAN, 25 Jun – Lebih 1,000 asatizah muda berhimpun dalam Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) Peringkat Negeri Sembilan 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh peranan asatizah muda sebagai ejen perubahan dalam menyampaikan dakwah dan pencerahan kepada masyarakat.
  • YADIM membangunkan pangkalan data asatizah muda bagi memperkasa gerakan dakwah di seluruh negara.
  • Program jadi platform jaringan, dialog, sesi town hall dan pelantikan kepimpinan Daie MADANI untuk menangani cabaran semasa.

Sekali gus memperkukuh peranan golongan itu sebagai ejen perubahan dalam menyampaikan dakwah dan pencerahan kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, program berkenaan berjaya melahirkan jaringan asatizah muda yang semakin tersusun dan berimpak tinggi.

“Sambutan memberangsangkan ini membolehkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) membangunkan pangkalan data asatizah muda bagi memperkasa gerakan dakwah di seluruh negara.

“Alhamdulillah lebih seribu anak muda hadir untuk berwacana, berdialog dan memberikan pandangan. Kini kita sudah ada pangkalan data asatizah muda yang boleh menjadi ejen perubahan serta membantu memberi pencerahan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program HAMKA yang berlangsung di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), di sini hari ini.

Program anjuran YADIM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pendidikan Tinggi itu menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan dan memperkasa peranan asatizah muda dalam mendepani cabaran semasa.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun. Turut hadir Yang Dipertua YADIM Datuk Dr. Hasan Bahrom, Ahli Dewan Negara Senator Dr. Jufitri Joha serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan.

Selaras aspirasi Malaysia MADANI, peserta turut didedahkan mengenai peranan asatizah sebagai penyebar ilmu sahih, ejen perpaduan dan pemimpin masyarakat.

Negeri Sembilan menjadi negeri keempat menganjurkan HAMKA selepas Kuala Lumpur, Sarawak dan Kedah.

Program itu turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi dialog asatizah muda, bicara ekonomi, sesi town hall bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta pelantikan kepimpinan Daie MADANI Negeri Sembilan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.