
PETALING JAYA, 25 Jun – Keyakinan berterusan pelbagai pihak terhadap peranan media negara terserlah apabila Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026 menerima tajaan dan sumbangan mencecah RM1.037 juta.
- MPI memaklumkan sumbangan merangkumi RM587,000 daripada 60 organisasi dan tajaan RM450,000 oleh PETRONAS.
- Dr Ainol Amriz berkata sokongan itu manifestasi komitmen memperkukuh profesion kewartawanan negara.
- MWM dianggap platform penting menghargai pengamal media yang mengesahkan fakta dan menyampaikan laporan tepat.
- Beliau tekankan perlu perkukuh hubungan media dan korporat berasaskan kepercayaan, kredibiliti dan profesionalisme ketika era AI dan digital.
Malaysian Press Institute (MPI) memaklumkan, jumlah tersebut merangkumi sumbangan RM587,000 daripada 60 organisasi serta tajaan RM450,000 oleh PETRONAS bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail berkata, sokongan berkenaan bukan sahaja memastikan kelancaran penganjuran acara tahunan berprestij itu, malah menjadi manifestasi komitmen bersama dalam memperkukuh profesion kewartawanan negara.
“Sokongan ini mencerminkan usaha kolektif dalam memastikan kewartawanan terus profesional, beretika dan diyakini masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum PEMIKIR: Evolusi Media & Perubahan Industri serta Majlis Penghargaan Penyumbang MWM 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, MWM merupakan platform penting dalam menghargai sumbangan pengamal media yang komited mendapatkan fakta, mengesahkan maklumat serta menyampaikan laporan tepat kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh hubungan antara media dan sektor korporat, khususnya ketika industri berdepan perubahan pesat susulan perkembangan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan platform digital.
“Hubungan ini perlu terus diperkukuh berasaskan kepercayaan, kredibiliti dan profesionalisme bagi memastikan kelangsungan industri media,” ujarnya.
MWM 2026 dijadual berlangsung pada 17 Julai depan.