
PUTRAJAYA, 26 April -Malaysia perlu memperkukuh daya tahan ekonomi dalam menghadapi risiko kemerosotan susulan kenaikan kos global dan gangguan rantaian bekalan.
- Perdana Menteri tegaskan asas perpaduan negara memberi keyakinan masalah boleh ditangani dengan tekad nasional dan daya tahan kukuh.
- Landskap geopolitik semakin kompleks; konflik berpanjangan Asia Barat memberi kesan politik dan ekonomi meluas.
- Dasar luar Malaysia konsisten memperjuangkan keamanan dan keadilan, termasuk menuntut pendekatan antarabangsa lebih berprinsip terhadap konflik seperti Myanmar dan Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun bekalan petroleum negara mencukupi untuk beberapa bulan, isu kekurangan diesel dan bekalan baja berpotensi menekan ekonomi domestik.
“Namun, dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, kita masih mempunyai asas perpaduan. Kita yakin masalah boleh ditangani dengan tekad nasional dan daya tahan yang kukuh,” katanya ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 11 bertemakan “Perpaduan Umat Islam dalam Menghadapi Krisis Geopolitik”, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Perdana Menteri berkata, landskap geopolitik global yang semakin kompleks khususnya konflik berpanjangan di Asia Barat memberi kesan politik dan ekonomi meluas.
Pada masa sama beliau mengecam pencerobohan berterusan Israel dengan sokongan Amerika Syarikat, yang memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza, Lubnan dan kawasan lain.
“Penderitaan di Gaza dan perjuangan Palestin tidak boleh diabaikan. Dunia kini menyaksikan kekejaman yang sukar dibayangkan,” katanya.
Tambah beliau, dasar luar Malaysia kekal konsisten dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan, termasuk menangani konflik di Myanmar serta menuntut pendekatan antarabangsa lebih berprinsip.