KPM yakin graduan baharu IPGM perkukuh pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027

Wong Kah Woh

PUTRAJAYA, 28 Jun – Guru baharu keluaran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menjadi tonggak penting dalam menjayakan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang diperkenalkan di sekolah bermula tahun hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • RPM telah dirangka selama tiga tahun dan berjaya dilancarkan; tumpuan kini pada pelaksanaan.
  • Pelaksanaan amat bergantung kepada komitmen penuh warga pendidik dan guru di sekolah.
  • Kurikulum Persekolahan 2027 dilaksanakan untuk Tahun Satu dan Tingkatan Satu, memerlukan kesiapsiagaan guru baharu menterjemah dasar di bilik darjah.
  • Istiadat konvokesyen meraikan 6,174 graduan; IPGM keluarkan pertama Ijazah Sarjana Perguruan (Bidang Pedagogi).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan, ke arah itu ia memerlukan komitmen penuh warga pendidik termasuk graduan baharu IPGM.

“Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) telah kita rangka untuk tempoh tiga tahun sejak tiga tahun yang lepas dan berjaya diluncurkan seperti yang kita lihat pada bulan Januari yang lalu.

“Apa yang penting sekarang bukan lagi dari segi perancangan, tetapi pelaksanaan. Pelaksanaan ini amat bergantung kepada warga pendidik kita, khususnya guru-guru di sekolah termasuk guru baharu yang bakal kita tempatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan (IPGKPM) Ke-17, Sidang Kedua, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Kurikulum Persekolahan 2027 akan dilaksanakan melibatkan murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu, sekali gus memerlukan kesiapsiagaan guru baharu dalam menterjemahkan dasar pendidikan negara di bilik darjah.

“Pada tahun hadapan kita juga akan melaksanakan Kurikulum Persekolahan 2027 bermula di Tingkatan Satu dan Tahun Satu, dan guru-guru yang kita ada pada hari ini memainkan satu peranan yang amat penting,” jelasnya.

Pada Istiadat Konvokesyen IPGKPM Ke-17 itu seramai 6,174 graduan diraikan selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Julai. Ia melibatkan 5,841 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dan 333 graduan Program Ijazah Sarjana Perguruan.

Pada sidang berkenaan, Wong Kah Woh turut menyampaikan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian kepada 791 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ambilan Jun 2022.

Turut diraikan Muhammad Nazrey Sabli yang menerima Anugerah Khas Kokurikulum, Majdi Ab Rahim (Anugerah Khas Kepimpinan) serta Nor Ameer Najwan Abdul Rauff yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas.

Istiadat konvokesyen kali ini turut mencipta sejarah tersendiri apabila graduan Program Ijazah Sarjana Perguruan Ambilan Ogos 2024 menjadi kumpulan pertama menerima Ijazah Sarjana Perguruan (Bidang Pedagogi) keluaran IPGM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.