Transaksi pembelian BUDI Diesel cecah 40,000

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan meninjau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel di sebuah stesen minyak di sini, malam tadi / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Jun– Sebanyak 40,000 transaksi pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad direkodkan sehingga pukul 10 malam tadi sejak akses awal BUDI Diesel bermula Sabtu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 18,000 permohonan baharu untuk tambahan kuota 100 liter diesel sebulan bagi pemilik kenderaan pikap dan jip yang layak.
  • Kerajaan fokus memastikan pelaksanaan BUDI Diesel berjalan lancar sebelum pelaksanaan penuh di seluruh negara mulai 1 Julai.
  • Sistem pengesahan MyKad di stesen minyak berfungsi baik, maklum balas awal pengguna positif dan tiada aduan teknikal.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, 18,000 permohonan baharu turut diterima bagi tambahan kuota 100 liter diesel sebulan daripada pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.

Menurut beliau, tumpuan kerajaan ketika ini adalah memastikan pelaksanaan BUDI Diesel berjalan lancar sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara mulai 1 Julai ini.

“Sehingga 30 Jun ini, fokus kita adalah memastikan pelaksanaan BUDI Diesel berjalan lancar. Setakat beberapa hari ini, sistem berjalan baik, tiada isu teknikal dan tiada masalah yang dibimbangkan.

Kerjasama dengan kerajaan negeri juga penting bagi memastikan mereka yang layak dapat dibantu untuk mendaftar,” katanya selepas meninjau pelaksanaan BUDI Diesel di sebuah stesen minyak di sini, malam tadi.

Tambah beliau, setakat ini sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah teknikal.

Maklum balas awal daripada pengguna dan pengusaha stesen minyak juga positif, selain tiada aduan diterima berhubung proses pembelian diesel bersubsidi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.